PETALING JAYA: Malaysia muncul sebagai negara paling penting di kalangan syarikat ASEAN dan Greater China yang ingin mengembangkan perniagaan mereka dalam tempoh tiga tahun akan datang, menurut kajian Tinjauan Perniagaan UOB 2024.
Ketua Pegawai Eksekutif, UOB Malaysia, Ng Wei Wei berkata, kajian itu menunjukkan bahawa perniagaan tempatan sedang bersiap sedia untuk tempoh pertumbuhan kerana yakin dengan potensi ekonom, manakala perniagaan luar negara pula ingin berkembang ke Malaysia.
Jelasnya, ia disebabkan oleh asas ekonomi yang kukuh dan daya tarikan negara sebagai hab perniagaan serantau didorong oleh strategi China+1, Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura, peningkatan permintaan industri semikonduktor global dan kenaikan dalam amalan kemampanan di kalangan perniagaan dan negeri.
“UOB Malaysia kekal komited memanfaatkan rangkaian serantau kami yang luas, kepakaran sektor yang kukuh dan pengetahuan pasaran tempatan bagi menyokong pertumbuhan perniagaan tempatan.
‘Selain itu, kami akan mempermudah lebih banyak pelaburan langsung asing dan perdagangan ke dalam negara,” katanya.
UOB berkata, tinjauan tersebut mendapati lebih tujuh daripada 10 perniagaan Malaysia bersikap positif tentang persekitaran perniagaan semasa dengan 76 peratus menjangka bahawa prestasi perniagaan akan bertambah baik tahun ini.
“Sektor yang paling positif tentang persekitaran perniagaan semasa ialah industri, minyak dan gas (90 peratus), serta pembuatan dan kejuruteraan (80 peratus).
“Tujuh daripada 10 perniagaan juga menjangka akan melihat pertumbuhan dalam pendapatan pada setiap tahun sepanjang tiga tahun akan datang.
“Bagaimanapun, banyak perniagaan masih sedang pulih daripada kelembapan ekonomi secara keseluruhan dan berhati-hati terhadap kesan inflasi dan kos operasi yang lebih tinggi,” katanya.
Selain itu, jelasnya, tinjauan tersebut juga menunjukkan perniagaan tempatan mempunyai tiga tumpuan utamabagi tempoh satu hingga tiga tahun akan datang, iaitu mengurangkan kos, mengamalkan penyelesaian digital untuk meningkatkan produktiviti dan berusaha mencari pelanggan baharu.
“Hampir 80 peratus perniagaan Malaysia ingin berkembang ke luar negara untuk meningkatkan keuntungan, menambahkan pendapatan, dan membina reputasi mereka sebagai perniagaan antarabangsa.
“Khususnya, perniagaan ini memberi tumpuan kepada ASEAN dan Tanah Besar China sebagai dua pasaran teratas untuk mengembangkan perniagaan mereka dalam tempoh tiga tahun akan datang.
“Di kalangan negara ASEAN, Indonesia merupakan negara paling penting yang ingin dimasuki oleh perniagaan tempatan, diikuti oleh Singapura, Thailand dan Brunei,” katanya.
Tinjauan tersebut juga melaporkan perniagaan ingin memasukkan amalan kemampanan ke dalam operasi mereka kerana akan membantu menarik pelabur dan menjadikannya lebih mudah untuk bekerjasama dengan syarikat multinasional apabila matlamat kemampanan telah ditetapkan, di samping meningkatkan jenama dan reputasi syarikat.
“Lebih lapan daripada 10 perniagaan tempatan percaya bahawa kemampanan adalah penting tetapi hanya 39 peratus telah melaksanakan amalan kemampanan.
“Di barisan hadapan ialah sektor perkilangan dan kejuruteraan (53 peratys) yang paling banyak mengamalkan kemampanan dalam perniagaan mereka, diikuti oleh perindustrian, minyak dan gas (45 peratus) serta komuniti dan peribadi (40 peratus),” katanya. – UTUSAN