PETALING JAYA: Pergerakan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dilihat dalam jajaran yang sempit berikutan kurangnya katalis pasaran.
Pada pukul 5 petang, FBM KLCI naik 2.86 mata kepada 1609.52 daripada 1,606.66 pada Isnin.
Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 745 berbanding 305, dengan 446 kaunter tidak berubah, 950 tidak diniagakan.
Jumlah dagangan sebanyak 3.317 bilion unit bernilai RM2.323 bilion.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, perkara itu berikutan peserta pasaran mengambil pendirian yang berhati-hati apabila data-data inflasi di Amerika Syarikat (AS) akan diumumkan pada malam ini dan esok.
“Ekonomi AS dijangka mencatatkan indeks harga pengeluar (PPI) yang rendah iaitu 2.3 peratus pada Julai berbanding 2.6 peratus pada Jun berdasarkan anggaran konsensus.
“Buat masa ini, jangkaan pemotongan kadar faedah di AS pada September dilihat memberi sentiment yg positif kepada pasaran saham global,” katanya.
Sementara itu, Indeks Nikkei Jepun meningkat 1,207.51 mata, atau 3.45 peratus, kepada 36, 232.51 ketika berita ini ditulis.
Bagaimanapun, Indeks Kospi Korea Selatan meningkat sebanyak 0.12 peratus atau +3.20 mata kepada 2,612.50 dan indeks Indonesia pula, meningkat 0.79 peratus kepada 7.354,901.
Indeks STI Singapura meningkat 0.80 peratus atau 25.98 mata kepada 3,261.93. – UTUSAN