Percepat kelulusan projek hartanah bantu pemaju bendung kenaikan kos - Utusan Malaysia

Percepat kelulusan projek hartanah bantu pemaju bendung kenaikan kos

Jeffrey Chew Sun Teong
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemaju hartanah, Paramount Corporation Bhd. (Paramount) berharap kerajaan terus mengambil pendekatan seimbang untuk menyokong pertumbuhan sektor hartanah, terutama mempercepatkan kelulusan projek dalam Belanjawan 2025 Oktober ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Jeffrey Chew Sun Teong berkata, kelewatan projek akan meningkatkan kos dengan ketara sementara memberi manfaat kepada bank melalui faedah yang terakru.

“Kami boleh membina lebih banyak rumah, tetapi akan menjadi lebih sukar untuk orang ramai mencari hartanah apabila ia semakin mahal, terutama jika mendapatkan kelulusan untuk proses pembinaan dan pembinaan menjadi lebih lama.

“Kerajaan perlu menjadikan industri ini lebih kondusif. Kami (pemaju) tidak meminta subsidi, tetapi kami berharap kerajaan dapat memberi insentif kepada pihak berkuasa untuk mempercepatkan proses (kelulusan) supaya kami boleh melancarkan dan menyiapkan projek kami tepat pada masanya,” katanya selepas sesi pelabur dan media untuk separuh pertama 2024 semalam.

Dalam pada itu, Paramount mencatatkan keuntungan sedikit menaik kepada RM24.23 juta pada suku kedua 2024 berbanding RM24.11 juta pada suku kedua tahun sebelumnya.

Kumpulan turut mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM36.6 juta pada suku kedua 2024, berbanding suku yang sama pada tahun sebelumnya sebanyak RM36.8 juta.

Keuntungan yang boleh diagihkan kepada pemegang saham sebanyak RM24.2 juta berbanding RM24.1 juta dan disokong oleh pendapatan kumpulan sebanyak RM232.9 juta berbanding suku kedua 2023, RM241.6 juta.

Jeffrey berkata, segmen hartanah menyumbang pendapatan sebanyak RM220.7 juta kepada kumpulan pada suku kedua berbanding suku yang sama, RM232.3 juta dengan tiga penyumbang utama ialah Sejati Lakeside 2 di Selangor, Paramount Palmera di Pulau Pinang dan Berkeley Uptown di Selangor.

“Sumbangan yang lebih rendah sebahagiannya berpunca daripada penyiapan tiga projek besar yang diambil kira pada suku tahun yang sama tahun lalu, tetapi ini telah dikurangkan dengan maklum balas yang memberangsangkan terhadap The Ashwood yang dilancarkan pada Mei 2024.

“Walaupun pendapatan lebih rendah, PBT adalah RM41.0 juta, setara dengan 2Q2023, terutamanya disebabkan oleh penjimatan daripada penyiapan kos projek,” katanya selepas pengumuman prestasi suku kedua 2024 Paramount di sini.

Jeffrey berkata, pihaknya yakin bahawa pelancaran kumpulan sebanyak RM1.7 bilion pada 30 Jun 2024 (RM81 juta hartanah dilancarkan pada suku pertama 2024 dan RM1.6 bilion pada suku kedua 2024) akan menghasilkan jualan yang kukuh dan memberi sumbangan positif kepada prestasi kewangan kumpulan.

Beliau berkata, nilai pelancaran hartanah kumpulan pada separuh pertama 2024 adalah lebih dua kali ganda daripada pelancaran tahun penuh 2023 sebanyak RM886 juta.

Jelasnya, pelancaran kumpulan pada 2024 adalah produk berkualiti tinggi di lokasi premium di mana kami telah lama berada.

“Pelancaran bernilai RM1.6 bilion pada suku kedua terdiri daripada The Ashwood (kediaman kondominium tinggi, dupleks, dan vila rendah di kawasan elit U Thant di Kuala Lumpur), Fasa 2 The Atera (projek pembangunan berorientasikan transit di Petaling Jaya yang hanya 400m dari Stesen Transit Ringan Asia Jaya) dan fasa akhir Sejati Residences (rumah teres strata tiga tingkat di Cyberjaya).

“Jualan kami selama enam bulan sebanyak RM638 juta juga telah melebihi jualan enam bulan pertama 2023. The Ashwood yang dilancarkan pada Mei 2024 menyumbang lebih daripada 60 peratus daripada jualan,” katanya.

Paramount akan mengagihkan dividen interim sebanyak tiga sen setiap saham, sama seperti tahun lalu, selepas mencatatkan pemulihan yang kuat pada suku kedua 2024 dengan jualan sebanyak RM537 juta, tertinggi dalam satu suku tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN