PETALING JAYA: Ekonomi Malaysia yang diunjur berkembang 5.8 peratus pada suku kedua 2024 dipacu oleh peningkatan pelaburan sebanyak 9.6 peratus di suku pertama yang berterusan sehingga kini.
Ketua Panel Ekonomi di Fakulti Pengurusan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. Batiah Mahadi berkata, langkah-langkah kerajaan menarik pelaburan ke dalam negara dan juga keberkesanan dasar fiskal dan monetari mungkin menyumbang kepada pencapaian tersebut.
Jelasnya, kadar penggangguran yang rendah sebanyak 3.3 peratus telah memangkinkan peningkatan dalam perbelanjaan penggunaan isi rumah.
“Pada suku pertama perbelanjaan domestik meningkat sebanyak 4.7 peratus. Begitu juga dengan perbelanjaan kerajaan sebanyak 7.3 peratus.
“Selain itu, tidak dinafikan juga sektor eksport yang meningkat sebanyak 5.2 peratus dalam suku pertama.
“Semua ini boleh menyumbang kepada jangkaan peningkatan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak 5.8 peratus di suku kedua,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Profesor Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, ekonomi domestik juga meneruskan momentum positif disebabkan oleh beberapa perkara.
“Perkara itu seperti perbelanjaan sewaktu sambutan hari raya April lalu, pemberian tunai Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan kebenaran pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada Jun telah menyuntik tunai ke dalam ekonomi domestik,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) yang meningkat 6.1 peratus dan 2.4 peratus pada April dan Mei 2024 berbanding tempoh yang sama tahun lepas antara berita yang memberangsangkan buat ekonomi negara.
“Sektor-sektor ekonomi, terutamanya perkhidmatan berkembang baik kepada 5.6 peratus pada suku kedua berbanding 4.7 peratus pada suku pertama.
“Ini juga didorong oleh subsektor perdagangan borong dan runcit, pengangkutan dan penyimpanan serta kewangan dan insurans. Begitu juga dengan sektor pelancongan dengan peningkatan pelancong ke Malaysia lebih 27.5 peratus pada Januari ke April berbanding tempoh yang sama tahun lepas,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, sektor borong dan runcit juga meningkat sebanyak 6.6 peratus pada April dan sebanyak 7.1 peratus pada Mei tahun ke tahun.
“Bagi sektor pembuatan pula telah berkembang kepada 4.7 peratus pada suku kedua daripada 1.9 peratus pada suku sebelumnya. Sektor pembinaan mengekalkan pertumbuhan dua angka 17.2 peratus.
“Ia didorong oleh prestasi kukuh merentas semua subsektor, terutamanya dalam aktiviti kejuruteraan awam dan pembinaan khusus berbanding 11.9 peratus pada suku pertama 2024,” katanya. – UTUSAN