PETALING JAYA: Pengeluaran getah asli meningkat sebanyak 16.8 peratus pada Jun 2024 sebanyak 29,914 tan metrik berbanding 25,608 tan pada Mei 2024, menurut Jabatan Perangkaan.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin, perbandingan tahun ke tahun menunjukkan pengeluaran getah asli meningkat 0.2 peratus berbanding 29,867 tan metrik pada bulan sama tahun lalu.
“Pengeluaran getah asli Malaysia pada Jun disumbangkan, terutamanya oleh sektor pekebun kecil (87.6 peratus) berbanding sektor estet (12.4 peratus).
“Jumlah stok getah asli menurun sebanyak 8.5 peratus kepada 160,535 tan metrik berbanding 175,381 tan metrik pada Mei. Kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 90.1 peratus, diikuti oleh kilang pengguna getah (9.8 peratus) dan estet getah (0.1 peratus),” katanya dalam kenyataan.
Jelasnya, eksport getah asli berjumlah 39,800 tan metrik pula menurun sebanyak 21.6 peratus berbanding 50,798 tan metrik pada Mei.
“China kekal sebagai destinasi utama untuk eksport getah asli dengan jumlah 35.7 peratus daripada keseluruhan eksport, diikuti oleh Jerman (11.8 peratus), India (11 peratus), Emiriah Arab Bersatu (6.6 peratus) dan Amerika Syarikat (6.2 peratus).
“Prestasi eksport ini disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub dan benang getah. Sarung tangan getah merupakan produk eksport utama dengan nilai sebanyak RM1.23 bilion, menurun 1.7 peratus berbanding RM1.25 billion pada Mei,” katanya.
Analisis perbandingan harga purata bulanan menunjukkan Lateks Pekat mencatatkan peningkatan sebanyak 4.4 peratus (Jun 2024: 775.19 sen sekilogram, Mei 2024: 742.36 sen sekilogram), manakala Sekerap meningkat sebanyak 7.7 peratus (Jun 2024: 707.51 sen sekilogram, Mei 2024: 657.16 sen sekilogram).
“Harga bagi semua jenis Getah Mutu Malaysia (G.M.M) pula meningkat antara 3.3 peratus hingga 4.4 peratus.
“Data Harga Komoditi Bank Dunia melaporkan bahawa harga bagi getah jenis Technically Specified Rubber (TSR 20) meningkat 3.5 peratus dari AS$1.69/kg (RM7.51/kg) kepada AS$1.75/kg (RM7.78/kg) dan Singapura/Malaysia (SGP/MYS) meningkat 5.0 peratus dari AS$2.15/kg (RM9.56/kg) kepada AS$2.26/kg (RM10.05/kg),” katanya.
Katanya, prestasi suku kedua menunjukkan pengeluaran getah asli menurun sebanyak 11.6 peratus kepada 76,848 tan metrik berbanding 86,944 tan metrik pada suku pertama 2024.
“Pertumbuhan tahunan pengeluaran getah asli Malaysia pada suku kedua 2024 pula mencatatkan penurunan sebanyak 0.8 peratus berbanding 77,453 tan metrik pada suku kedua 2023,” katanya.
Menurut laporan Malaysia Rubber Board Digest keluaran Jun 2024, pasaran getah di Kuala Lumpur bergerak dengan aliran menurun disebabkan oleh data ekonomi China yang lemah.
“Sentimen pasaran turut dipengaruhi oleh tarif baharu oleh Kesatuan Eropah terhadap China serta kadar faedah Rizab Persekutuan Amerika Syarikat yang tidak berubah.
“Sentimen global juga terjejas akibat permintaan lemah yang berterusan, terutama dari China, serta ketidaktentuan dasar kewangan AS,” katanya. – UTUSAN