PETALING JAYA: Jumlah pendapatan boleh agih Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melonjak 29 peratus kepada RM36.7 bilion bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2024 (1H 2024) daripada RM28.4 bilion yang direkodkan dalam tempoh yang sama 2023.
Sebanyak RM31.34 bilion daripada jumlah pendapatan boleh agih tersebut dijana untuk Simpanan Konvensional dan RM5.36 bilion untuk Simpanan Shariah.
Pendapatan boleh agih ini tidak termasuk keuntungan mark-to-market (MTM) bagi sekuriti yang belum direalisasikan.
Jumlah pendapatan boleh agih KWSP bagi suku kedua (S2 2024) selepas turun nilai kos adalah RM17.5 bilion, naik 25 peratus daripada RM13.98 bilion pada suku yang sama tahun lepas.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, keadaan pasaran yang menggalakkan di Malaysia dan global menyumbang kepada pertumbuhan 29 peratus dalam pendapatan boleh agih pada separuh pertama 2024, manakala aset di bawah pengurusan meningkat kepada RM1.21 trilion.
Jelas beliau, pasaran Malaysia telah mendapat manfaat daripada peningkatan sentimen pelabur terhadap dasar berorientasikan pertumbuhan dan pembaharuan fiskal.
“Pasaran global seperti Amerika Syarikat (AS) pula mendapat manfaat daripada keadaan makroekonomi yang kukuh, penurunan inflasi dan jangkaan permulaan kitaran pengurangan kadar faedah.
“Walaupun keadaan pasaran agak tenang, risiko dilihat akan kekal berikutan penjualan baru-baru ini dalam pasaran global dan peningkatan mendadak dalam turun naik yang disebabkan oleh peserta pasaran yang melepaskan beberapa kedudukan yang tertumpu dan sesak.
“Sebagai pelabur jangka panjang, KWSP akan meneruskan strateginya untuk membina portfolio yang pelbagai didorong oleh alokasi aset strategiknya,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, dalam suku tahun yang dikaji, pelaburan ekuiti terus menjadi penyumbang utama pendapatan bagi separuh tahun kedua 2024 pada RM10.75 bilion selepas turun nilai kos, merangkumi 61 peratus daripada jumlah pendapatan boleh agih pada suku tahun dikaji.
“Prestasi pasaran ekuiti yang lebih baik di pasaran domestik dan pasaran maju global telah memacu pertumbuhan pendapatan berbanding RM7.84 bilion yang dicatatkan pada separuh tahun kedua 2023.
“Penurunan nilai bagi tempoh yang dikaji adalah kecil pada RM0.69 bilion, disebabkan pengurusan portfolio aktif oleh pengurus dana dan prestasi pasaran ekuiti keseluruhan yang lebih baik,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Zulqarnain berkata, pendapatan tetap terus memberikan aliran pendapatan yang stabil, mengurangkan kesan daripada turun naik pasaran jangka pendek dan menyediakan kestabilan untuk pendapatan keseluruhan KWSP.
“Kelas aset ini, yang terdiri daripada Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Bon Sama Taraf (MGS), serta Pinjaman dan Bon, menyumbang 33 peratus, atau RM5.72 bilion, kepada jumlah pendapatan boleh agih KWSP bagi separuh tahun kedua 2024.
“Hartanah dan infrastruktur mencatatkan pendapatan RM0.50 bilion, manakala Instrumen Pasaran Wang menjana RM0.53 bilion, sejajar dengan kadar faedah dan keuntungan semasa,” katanya.
Setakat 30 Jun 2024, aset pelaburan adalah berjumlah RM1,211.53 bilion, di mana 38 peratus dilaburkan dalam pelaburan luar negara.
Pada suku kedua, pelaburan luar negara KWSP menjana RM8.64 bilion atau 49 peratus daripada jumlah pendapatan boleh agih yang direkodkan.
KWSP memperuntukkan lebih 80 peratus daripada peruntukan tahunan pelaburan baharunya kepada pasaran domestik, dan kekal komited dalam menyokong dan menyumbang ke arah mencapai matlamat yang digariskan dalam rangka kerja Ekonomi Madani. – UTUSAN