PETALING JAYA: Penawaran buruh kekal kukuh apabila kadar penyertaan tenaga buruh naik 0.5 mata peratus tahun ke tahun kepada 70.5 peratus bagi sorotan pasaran buruh, suku kedua 2024 (LMR ST2 2024), kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Selari dengan perkembangan ekonomi yang berterusan, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, bilangan tenaga buruh meningkat 2.5 peratus untuk merekodkan 17.15 juta orang, terutamanya disumbangkan oleh peningkatan 2.8 peratus penduduk bekerja, yang merangkumi 16.59 juta orang pada suku tahun kedua 2024.
“Pada tempoh yang sama, bilangan penganggur terus berkurang 4.1 peratus kepada 557.8 ribu orang mencatatkan kadar pengangguran 3.3 peratus, kekal tidak berubah untuk tiga suku tahun berturut-turut.
“Melihat kepada situasi guna tenaga tidak penuh pada suku tahun kedua 2024, bilangan penduduk bekerja kurang daripada 30 jam seminggu menurun 1.6 peratus berbanding suku sama tahun lalu.
“Sehubungan itu, bilangan guna tenaga tidak penuh berkaitan masa menurun 8.9 peratus kepada 169.8 ribu orang, dengan kadar 1.0 peratus,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, bilangan guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran yang merujuk kepada mereka berpendidikan tertiari tetapi bekerja dalam kategori pekerjaan separuh mahir dan berkemahiran rendah meningkat 1.1 peratus tahun ke tahun untuk merekodkan sejumlah 1.94 juta orang dengan kadar 37.0 peratus atau terdiri lebih satu pertiga penduduk bekerja dengan pendidikan tertiari.
Mohd. Uzir berkata, permintaan buruh di Malaysia terus berkembang pada suku tahun kedua 2024, seiring dengan pertumbuhan tahunan sebanyak 1.5 peratus kepada 8.96 juta jawatan dalam sektor swasta.
“Bilangan jawatan diisi merangkumi 97.9 peratus daripada jumlah jawatan meningkat 1.5 peratus kepada 8.76 juta.
“Peluang pekerjaan dalam ekonomi yang ditunjukkan oleh bilangan kekosongan merangkumi 2.1 peratus daripada jawatan, meningkat 0.8 peratus berbanding suku sama tahun sebelumnya kepada 191.4 ribu kekosongan dan sebahagian besarnya dalam sektor pembuatan yang menyumbang 108.3 ribu kekosongan jawatan (56.6 peratus).
“Dalam suku tahun yang sama, permintaan buruh di Malaysia terus meningkat 0.5 peratus dalam bilangan pewujudan jawatan, merangkumi 31.9 ribu jawatan,” katanya.
Mohd. Uzir menambah, dengan perkembangan ekonomi pada suku kedua 2024, produktiviti buruh yang diukur dengan nilai ditambah per pekerja meningkat sebanyak 3.1 peratus berbanding suku yang sama tahun sebelumnya untuk mencatatkan nilai RM24,151 per pekerja (ST2 2023: RM23,434; ST1 2024: RM24,236).
“Jumlah jam bekerja pada suku kedua 2024 meningkat sebanyak 3.4 peratus untuk mencatatkan sejumlah 9.61 bilion jam. Oleh itu, nilai ditambah per jam bekerja naik 2.4 peratus dengan nilai sebanyak RM41.7 per jam (ST2 2023: RM40.7; ST1 2024: RM42.1),” katanya.
Mengakhiri kenyataan itu, Mohd. Uzir berkata, pasaran buruh Malaysia mengekalkan momentum positifnya pada suku tahun kedua 2024, didorong oleh permintaan terhadap buruh yang tinggi dalam pelbagai sektor disamping pengangguran terus berkurangan, mencerminkan prestasi ekonomi negara yang semakin kukuh.
“Melangkah ke separuh kedua tahun 2024, prospek ekonomi Malaysia dijangka mengekalkan momentum pertumbuhannya, disokong oleh permintaan domestik yang lebih kukuh dan eksport yang terus berkembang.
“Peningkatan dalam aktiviti perniagaan juga dilihat dapat menarik lebih banyak pelaburan ke Malaysia, seterusnya meningkatkan pewujudan lebih banyak jawatan mahir dan menambah peluang pendapatan.
“Sehubungan itu, pasaran buruh negara dijangka akan terus mengekalkan momentum pertumbuhan yang stabil pada suku yang akan datang,” katanya. – UTUSAN