Pemulihan keuntungan Malakoff dijangka berterusan sepanjang tahun ini - Utusan Malaysia

Pemulihan keuntungan Malakoff dijangka berterusan sepanjang tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: RHB Investment menjangkakan pemulihan keuntungan dicatatkan Malakoff Corporation Bhd. pada separuh pertama tahun kewangan 2024, akan berterusan pada tahun kewangan 2024, didorong margin bahan api kembali normal dan penstabilan harga arang batu.

Menurut kenyataan, pemulihan itu juga akan dibantu oleh perjanjian pembelian kuasa (PPA) untuk Loji Kuasa Gas Prai 350MW yang telah dilanjutkan selama setahun, sehingga Ogos 2025.

“Bagi jangka panjang, perlu ada lebih banyak loji yang menggunakan gas baharu untuk dibangunkan selaras dengan unjuran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR), di mana gas akan terus menjadi sumber bahan api dominan untuk beban kuasa asas.

“Malakoff kini mempunyai kapasiti thermal 5.3GW dan menyasarkan untuk mencapai 10GW menjelang 2031. Oleh itu, kami menjangkakan ia akan menambah kapasiti gas baharu dalam jangka sederhana,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Sementara itu, firma penyelidikan itu berkata, sumbangan pendapatan hasil daripada penyediaan perkhidmatan operasi dan penyelenggaraan kepada tiga loji janakuasa (1,500MW) di Bangladesh dijangka kecil buat masa ini.

“Bagi Alarm Flora pula terus menyumbang pendapatan stabil sebanyak RM45 juta pada separuh pertama tahun kewangan 2024,” katanya.

Terdahulu, lonjakan keuntungan kumpulan itu dipacu sumbangan lebih baik daripada Loji Janakuasa Tanjung Bin dan Tanjung Bin Energy Sdn. Bhd.

Ini berikutan purata wajaran kos arang batu yang lebih rendah berikutan penstabilan harga global, permintaan tenaga yang lebih tinggi dan keuntungan daripada pampasan bagi pengambilan tanah secara wajib.

Bagaimanapun hasil kumpulan bagi suku itu menyusut sebanyak 2.4 peratus kepada RM2.31 bilion berbanding RM2.36 bilion pada suku kedua tahun kewangan 2023.

RHB Investment percaya mereka berada pada kedudukan yang baik untuk mendapat manfaat daripada peningkatan permintaan tenaga dalam jangka masa panjang, memandangkan Malakoff merupakan pengeluar tenaga bebas yang berpengalaman

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) RM1.11 sesaham. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN