Pelaburan AWS bukti keyakinan terhadap pentadbiran negara - Utusan Malaysia

Pelaburan AWS bukti keyakinan terhadap pentadbiran negara

PELABURAN AWS adalah bukti kepercayaan pelabur luar terhadap pentadbiran negara. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelaburan AS$6.2 bilion (RM29.2 bilion) oleh Amazon Web Services (AWS) di negara ini disifatkan sebagai undi percaya (vote of confidence) terhadap pentadbiran semasa berikutan dasar ekonomi yang pro perniagaan, kata penganalisis ekonomi.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, Malaysia yang mempunyai suatu ekosistem yg kondusif bagi syarikat-syarikat pengoperasi pusat data membuatkan keyakinan para pelabur.

“Malaysia yang mempunyai infrastruktur yang baik dari segi bekalan elektrik, bekalan tenaga buruh mahir, serta keluasan tanah yang sesuai telah menjadikannya sebagai negara yang menerajui dalam usaha menarik pelabur asing yang berasaskan teknologi tinggi.

‘Pelaburan yang bersifat jangka panjang sudah, seterusnya akan menjadi suatu pemangkin kepada adaptasi teknologi oleh pelbagai perniagaan, sama ada kecil atau besar.

“Limpahan ekonomi melalui pengwujudan pekerjaan berkemahiran tinggi serta peningkatan daya inovasi serta produktiviti akan menjadikan pertumbuhan ekonomi negara lebih pesat dan terangkum,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Pada Khamis, AWS mengumumkan pelaburan sebanyak AS$6.2 bilion (RM29.2 bilion) di Malaysia sebagai sebahagian daripada komitmen jangka panjangnya sehingga tahun 2038.

Pembinaan dan operasi AWS Region yang baharu ini dianggarkan akan menyumbang kira-kira AS$12.1 bilion (RM57.3 bilion) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dan akan menyokong purata tahunan lebih daripada 3,500 pekerjaan sepenuh masa sehingga tahun 2038.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bahawa sebagai sebahagian daripada hubungan baharu ini, AWS telah menandatangani perjanjian rangka kerja awan dengan kerajaan untuk meningkatkan penggunaan awan dalam sektor awam.

Sementara itu, penganalisis ekonomi, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, sentimen positif itu dijangka melonjakkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia.

“Pada masa yang sama, pelabur antarabangsa akan melihat prospek Malaysia dengan lebih serius.

“Selain itu, Malaysia kini menjadi pusat perhatian baharu untuk pelabur antarabangsa, dan beberapa pelabur besar yang dijangka akan berminat untuk melabur di Malaysia.

“Pelaburan daripada syarikat seperti Amazon dijangka menarik lebih banyak pelabur lain, terutamanya dalam sektor teknologi. Amazon, sebagai sebuah syarikat peruncitan maya, masih memerlukan pusat penyimpanan, penghantaran dan logistik.

“Pemilihan Malaysia oleh Amazon menunjukkan bahawa Malaysia adalah lokasi terbaik untuk peniaga barat membuka pusat logistik dan pemasaran kerana rantau Asia akan menjadi destinasi utama dalam pembangunan global abad ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN