Pelabuhan Klang disenarai pelabuhan ke-11 paling sibuk di dunia - Utusan Malaysia

Pelabuhan Klang disenarai pelabuhan ke-11 paling sibuk di dunia

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelabuhan Klang disenaraikan sebagai pelabuhan ke-11 paling sibuk global pada 2023, demikian menurut laporan oleh Lloyd’s List.

Kedudukan pelabuhan terbesar di Asia Tenggara yang merangkumi Northport dan Westports itu juga meningkat dua anak tangga berbanding sebelum ini dalam kalangan 100 pelabuhan dunia yang lain.

Ia juga satu daripada tujuh pelabuhan dalam 20 teratas dunia yang mencatat peningkatan kedudukan berbanding tahun sebelumnya.

Tahun lalu, Pelabuhan Klang mengendalikan sebanyak 14.06 juta unit bersamaan 20 kaki (TEU), meningkat sebanyak 6.3 peratus  daripada 13.22 juta TEU pada 2022. 

Kontena import dan eksport tempatan meningkat sebanyak 8.4 peratus kepada 6.16 juta TEU pada tahun lalu berbanding 5.68 juta TEU pada 2022.

Menurut Kementerian Pengangkutan (MOT), daripada 20 pelabuhan kontena teratas, Pelabuhan Klang adalah satu daripada tujuh pelabuhan yang telah naik dalam kedudukan berbanding 10 teratas dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang.

Jelas kenyataan itu, pelabuhan lain yang turut mencatatkan peningkatan termasuk Dubai, Xiamen, Laem Chabang, Kaohsiung, Tangier Med dan Taicang.

“Pertumbuhan ini telah menjadikan Pelabuhan Klang sebagai satu daripada tiga pusat pemindahan kontena terbesar di Asia (tidak termasuk pelabuhan-pelabuhan di China),” demikian menurut kenyataan.

Bagi separuh pertama tahun ini, Pelabuhan Klang mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 5.6 peratus dalam jumlah kontena kepada 8.4 juta TEU. 

Pelabuhan Klang meramalkan pertumbuhan sebanyak 5.5 peratus untuk keseluruhan 2024, dengan jangkaan mencapai 14.83 juta TEU, menjadikannya berpotensi untuk memasuki kedudukan 10 teratas pada 2024.

Melangkah ke hadapan, MOT berkata, Pelabuhan Klang berhasrat untuk mengekalkan trajektori kenaikannya dan mencapai kejayaan yang lebih besar pada masa akan datang.

“Dengan rancangan yang luas untuk pengembangan dan pemodenan selanjutnya, pelabuhan ini bersedia untuk memainkan peranan yang lebih penting dalam memfasilitasi perdagangan global.

“Pelabuhan Klang bukan sahaja melihat kepada peranannya sebagai hab pemindahan kontena, dengan nisbah komposisi perdagangan antara pemindahan dan kargo tempatan berubah dari 70:30 kepada 55:45 dalam dekad yang lalu, tetapi juga bergerak ke arah meningkatkan peranannya sebagai pusat pengagihan dan logistik penting di Asia,” katanya. 

Pada 2023, Pelabuhan Shanghai sekali lagi menduduki tempat teratas dalam ranking Lloyd’s List, diikuti oleh Pelabuhan Singapura. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya