PETALING JAYA: Pekat Group Bhd. (Pekat) dianugerahkan kontrak bernilai RM21.78 juta untuk memasang pembumian dan perlindungan kilat bagi kemudahan pusat data daripada Gamuda Engineering Sdn Bhd.
Menurut pemfailan di Bursa Malaysia, kontrak itu telah diberikan kepada anak syarikat milik penuhnya, Pekat E & LP Sdn. Bhd. (PELP).
Katanya, kontrak tersebut melibatkan kerja-kerja subkontrak berkaitan pembinaan dan penyiapan, termasuk ujian dan pentauliahan sistem pembumian dan perlindungan kilat.
“Subkontrak itu dijangka siap pada 30 September 2025, manakala kontrak utama dijangka siap pada 27 Februari 2026,” katanya.
Jelasnya, lokasi dan perihalan kerja tugas itu berkaitan dengan pusat data hiperskala di Elmina Business Park.
Pada Mei, Gamuda Bhd. (Gamuda) memberitahu bahawa mereka telah memenangi projek pembinaan pusat data daripada Sime Darby Property Bhd. dengan jumlah RM1.74 bilion.
Pekat berkata, PELP dikehendaki meletakkan bon prestasi sebanyak 10 peratus, yang berjumlah RM2.18 juta.
“Pekerjaan ini akan menyumbang kepada pendapatannya bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 dan seterusnya, sehingga kontrak selesai,” tambahnya.
Awal bulan ini, Pekat berkata, ia membeli pembekal alat suis tempatan Apex Power Industry Sdn. Bhd. pada harga RM96 juta untuk sejajar dengan strategi pertumbuhan perniagaan jangka panjangnya untuk mewujudkan kehadirannya dalam sektor perniagaan peralatan pengagihan kuasa. – UTUSAN