Pecca Group catat untung bersih RM14.6 juta - Utusan Malaysia

Pecca Group catat untung bersih RM14.6 juta

FOO KEN NEE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pecca Group Berhad mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM14.6 juta bagi suku keempat berakhir 30 Jun 2024 (S4 TK2024), berbanding RM10.1 juta pada tempoh yang sama tahun lepas.

Menurut kenyataan, ia susulan peningkatan kecekapan kos pengeluaran serta jualan kukuh sarung tempat duduk kereta yang menyumbang kepada peningkatan 44.6 peratus dalam keuntungan bersih berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

“Margin keuntungan bersih Pecca bagi suku kajian adalah 26.5 peratus, dengan lonjakan sebanyak 42.7 peratus dari tempoh yang sama tahun lalu.

“Peningkatan dalam keuntungan ini terutamanya dicapai melalui kecekapan kos pengeluaran yang lebih baik dan produktiviti yang dipertingkatkan serta hasil daripada tumpuan strategik kumpulan dalam mengoptimumkan keberkesanan proses pengeluaran.

“Pendapatan kumpulan pada tempoh itu pula meningkat kepada RM55.0 juta, berbanding RM54.3 juta setahun lalu,” katanya.

Jelasnya, pada S4 TK2024, pendapatan kumpulan dipacu oleh permintaan untuk sarung tempat duduk kereta, penjahitan dan bekalan sarung aksesori kereta, serta penyediaan perkhidmatan pembalutan dan jahitan.

“Semua sub-segmen ini menyumbang kira-kira 99.9 peratus daripada jumlah pendapatan kumpulan dan segmen sarung tempat duduk kereta kulit, segmen Pengeluar Peralatan Asli (OEM) menyumbang kira-kira 90 peratus daripada pendapatan segmen itu,” katanya.

Bagi keseluruhan tahun kewangan 2024 (TK2024), katanya, kumpulan mencatatkan sejarah dengan rekod keuntungan bersih tertinggi sebanyak RM55 juta, meningkat 55.4 peratus daripada RM35.4 juta pada tahun kewangan 2023.

“Lonjakan keuntungan ini terutamanya didorong oleh kecekapan kos pengeluaran yang lebih tinggi, di samping permintaan yang berterusan terhadap produk dan perkhidmatan kumpulan,” katanya.

“Pecca mencatatkan peningkatan tahunan sebanyak 9.5 peratus dalam pendapatan setahun penuh kepada RM242.4 juta, daripada RM221.3 juta pada TK2023.

“Kedudukan tunai kumpulan juga bertambah baik dengan peningkatan sebanyak 38.2 peratus daripada tahun sebelumnya, meningkat kepada RM153.7 juta pada akhir TK2024,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Pecca Group, Foo Ken Nee berkata, prestasi kukuh itu adalah bukti komitmen kumpulan terhadap pertumbuhan perniagaan yang berterusan dan penciptaan kekayaan pemegang saham.

“Pada TK2024, kami meraih manfaat daripada peningkatan ekonomi berskala besar, hasil daripada permintaan yang kukuh terhadap produk serta hubungan kuat dengan pelanggan.

“Pada masa yang sama, kami terus berusaha untuk memaksimumkan produktiviti fasiliti pengeluaran kami.

“Permintaan terhadap upholsteri automotif berkualiti tinggi di Malaysia terus kekal kuat, dengan industri meramalkan bahawa 2024 akan menjadi tahun kedua terbaik bagi jualan kereta baru.

“Untuk mengembangkan perniagaan ini, kami sedang berusaha untuk memperluaskan pangkalan pelanggan kami di Malaysia dan di peringkat global, serta meningkatkan sumbangan pendapatan daripada segmen lain seperti segmen REM,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pecca Group, Teoh Zi Yi berkata, pada TK2025, syarikat akan terus berkembang dan mempelbagaikan ke pasaran baru melalui empat teras utama, iaitu OEM, REM, penerbangan dan usaha baru (Emerging Ventures).

“Kejayaan usaha ini amat penting kerana ia akan membuka fasa pertumbuhan seterusnya. Dengan kedudukan kewangan kami yang kukuh, kami mempunyai sumber untuk mempercepatkan trajektori pertumbuhan kami.

“Selain daripada pengembangan organik perniagaan kami, kami juga akan terus mencari peluang penggabungan dan pengambilalihan strategik serta kerjasama sinergi.

“Kami kekal komited untuk melabur dan beroperasi dengan pandangan jangka masa lima hingga sepuluh tahun, mengutamakan pulangan jangka panjang berbanding keuntungan kewangan segera,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN