Pasaran saham Malaysia terbaik dalam kalangan negara ASEAN - JP Morgan - Utusan Malaysia

Pasaran saham Malaysia terbaik dalam kalangan negara ASEAN – JP Morgan

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pasaran ekuiti Malaysia menunjukkan prestasi yang baik apabila mencatatkan pulangan sekitar sembilan peratus, tertinggi dalam kalangan negara ASEAN, menurut institusi kewangan terkemuka dunia, J.P. Morgan.

Sebagai perbandingan, pasaran saham keseluruhan ASEAN yang diukur oleh MSCI ASEAN telah menurun sebanyak empat peratus.

J.P. Morgan berkata, reformasi dasar, pelaburan dalam pusat data dan pembinaan infrastruktur menjadi faktor utama yang memacu Malaysia selari dengan pandangan untuk 2024, namun ia berkembang pada kadar yang jauh lebih kukuh daripada jangkaan.

“Semua ini, digabungkan dengan pengeluaran dana domestik membawa kepada penilaian semula yang ketara terhadap KLCI/MSCI Malaysia (MXMY).

“Penempatan pelabur asing di Malaysia masih rendah, tetapi menunjukkan potensi kenaikan yang lebih besar.

“Kami semakin positif terhadap prospek ekuiti Malaysia berdasarkan faktor pendorong tersebut dan menaikkan sasaran asas KLCI kepada 1,650 daripada 1,500 sebelum ini,” menurut nota penyelidikan.

J.P Morgan berkata, sektor dan pilihan utamanya termasuk pembinaan, utiliti, teknologi, penjagaan kesihatan dan pelabuhan.

“Bagaimanapun, kami mengakui cabaran seperti rasionalisasi subsidi, ketidakstabilan luaran dan potensi impak pilihan raya Amerika Syarikat (AS) yang akan datang boleh menyebabkan perbelanjaan pengguna yang lebih lemah, dolar AS lebih kuat dan permintaan luaran yang rendah,” katanya.

Kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat mempunyai ruang yang besar untuk melaksanakan dan menunjukkan keberkesanan dasar yang dilaksanakan, demikian menurut institusi kewangan terkemuka dunia, J.P. Morgan

Menurut penyelidikan itu juga, kerajaan Madani mempunyai ruang yang besar untuk melaksanakan dan menunjukkan keberkesanan dasarnya memandangkan Pilihan Raya Umum (PRU) seterusnya masih jauh lagi sehingga Februari 2028.

Ia berkata, komitmen kerajaan terhadap kestabilan ekonomi jangka panjang yang dicerminkan menerusi rangka kerja Ekonomi Madani, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Pelan Peralihan Tenaga Negara (NETR), meletakkan asas yang kukuh untuk pembangunan mampan.

“Pembaharuan itu bersedia untuk memodenkan ekonomi, meningkatkan daya saing industri dan menarik pelaburan asing.

“Kestabilan politik semasa Malaysia adalah asas untuk pertumbuhan ekonomi dan keyakinan pelabur, selain memastikan persekitaran yang lebih boleh diramal dan selamat untuk perniagaan dan pelabur,” ujarnya.

Malah, katanya, ia juga mengurangkan risiko peralihan dasar secara mengejut dan menggalakkan perancangan jangka panjang dan pelaburan.

“Analisis kami mengenai pembaharuan dasar Malaysia menyerlahkan tiga sebab yang menarik untuk menjangkakan momentum meningkat dalam pasaran ekuiti Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya