NRES semak semula sasaran NCD, ambil kira dasar terkini perubahan iklim - Utusan Malaysia

NRES semak semula sasaran NCD, ambil kira dasar terkini perubahan iklim

KETUA Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr. Ching Too Kim (tengah), menerima cenderahati daripada Pengerusi Bursa Malaysia Bhd., Tan Sri Abdul Wahid Omar selepas merasmikan Malaysia Carbon Market Forum 2024, di Hotel EQ, di sini hari ini. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar (NRES) kini sedang dalam proses menyemak semula sasaran Sumbangan yang Ditentukan Secara Nasional (NCD) yang akan mengambil kira dasar-dasar terkini berkaitan perubahan iklim.

Ketua Setiausaha NRES, Datuk Dr Ching Thoo Kim berkata, proses semakan itu dijangka selesai pada 2025.

“Ini bertujuan menetapkan satu lagi sasaran nasional yang inklusif dan bercita-cita tinggi selaras dengan matlamat suhu jangka panjang Perjanjian Paris.

“Malaysia juga telah memperbaharui aspirasi jangka panjangnya untuk mencapai sifar bersih GHG menjelang tahun 2050 yang dipandu oleh Strategi Pembangunan Pelepasan Rendah Jangka Panjang Malaysia (LT-LEDS).

“Aspirasi yang diperbaharui ini diputuskan dalam Majlis Tindakan Perubahan Iklim Kebangsaan pada bulan Jun yang lalu dan turut bersetuju menubuhkan Majlis Penyahkarbonan Kebangsaan untuk membincangkan kemajuan dasar penyahkarbonan merentas semua sektor utama,” katanya semasa pelancaran Forum Pasaran Karbon Malaysia kali ke-2 (MCMF) 2024 oleh Bursa Carbon Exchange (BCX), di sini, hari ini.

Jelasnya, Malaysia komited untuk memerangi perubahan iklim dan mengejar pembangunan mampan, walaupun hanya menyumbang kurang daripada satu peratus daripada pelepasan karbon dioksida global.

“Ini selaras dengan matlamat Perjanjian Paris, Malaysia telah menetapkan strategi bercita-cita tinggi untuk mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah kaca dalam ekonomi kita.

“Menjelang 2030, kami berhasrat untuk mencapai pengurangan 45 peratus dalam intensiti pelepasan berdasarkan KDNK berbanding dengan tahap pada tahun 2005 seperti yang digariskan dalam Sumbangan yang Ditentukan Secara Nasional (NDC) kami,” katanya.

Mengulas mengenai cukai karbon, beliau berkata, cukai itu akan diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2025 Oktober nanti.

Dalam majlis sama, beliau turut merasmikan pelancaran Persatuan Pasaran Karbon Malaysia (MCMA) yang menandakan satu langkah penting ke arah menyokong visi negara menjadikan pasaran karbon Malaysia boleh diakses oleh semua.

MCMA turut menerima pembiayaan benih sebanyak RM190,000 daripada Bornion Timber Sdn Bhd, Bursa Malaysia Bhd., Cenergi SEA Bhd, EeHSSE Consulting Sdn. Bhd. , IIB, SD Guthrie Berhad, dan Yinson.

Pembiayaan itu akan digunakan untuk memulakan inisiatif terpilih oleh MCMA, termasuk membangunkan program latihan bertujuan mengembangkan kumpulan bakat dalam ekosistem pasaran karbon di Malaysia.

Dalam pada itu, mengulas kepentingan forum itu, Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, pasaran karbon sedang berkembang pesat, menunjukkan peningkatan dan peluang baharu yang boleh dimanfaatkan oleh Malaysia untuk memajukan komitmennya kepada sifar bersih.

“Walaupun Malaysia mempunyai potensi besar untuk projek karbon prospektif yang mampu menjana kredit karbon yang berharga, pasaran terus menghadapi cabaran seperti kecairan terhad dan pergantungan pada piawaian antarabangsa.

“Forum yang diadakan ini menghimpunkan peserta dari sektor awam dan swasta, dalam dan luar negara untuk bertukar-tukar idea dan mula menangani cabaran ini dalam pasaran karbon Malaysia dan akhirnya, memupuk pasaran karbon yang bertenaga.

“Ini berkait rapat dengan Rangka Kerja Karbon Bersama ASEAN iaitu satu inisiatif yang dijangka mempercepatkan pembangunan ekosistem yang padu di rantau ini, melalui kerjasama pasaran karbon.

“Rangka kerja serantau yang dicadangkan telah dibincangkan dalam satu meja bulat yang dianjurkan oleh Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) Malaysia yang diadakan bersempena dengan forum ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya