KUALA LUMPUR: Amanah Raya Berhad (AmanahRaya) melancarkan aplikasi mudah alih, My AmanahRaya sebagai salah satu inisiatif untuk memudahkan orang ramai memulakan perancangan pewarisan mereka lebih awal dan meningkatkan kesedaran mengenai wasiat.
Pengarah Urusan Kumpulan AmanahRaya, Ahmad Feizal Sulaiman Khan berkata, aplikasi yang dibangunkan khusus untuk memudahkan orang ramai ini juga akan membolehkan pelanggan untuk mengenal pasti ejen AmanahRaya yang berhampiran dengan pelanggan.
Katanya, mereka boleh membuat temu janji, menyemak, mengesah dan mendapatkan khidmat nasihat percuma mengenai penulisan wasiat.
“Pengenalan aplikasi My AmanahRaya adalah selari dengan aspirasi kerajaan yang menggalakkan agensi Kerajaan untuk memacu teknologi dan pendigitalan.
“Aplikasi ini membolehkan rakyat Malaysia memohon dan mendaftar sebagai ejen AmanahRaya, sekali gus menjana peluang pekerjaan dan pendapatan tambahan untuk orang ramai,” katanya pada majlis pelancaran aplikasi tersebut di The Intermark Mall di sini, semalam.
Aplikasi tersebut dilancarkan oleh Pengerusi AmanahRaya, Tan Sri Idrus Harun yang juga dibuat sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan 2024, peringkat Kumpulan AmanahRaya.
Ahmad Feizal berkata, sejak aplikasi tersebut siap pada Jun lalu, terdapat 45 ejen yang sudah berada di platform terbabit dan menyasarkan sehingga 200 ejen menjelang akhir tahun ini.
“Setakat akhir Julai 2024, sebanyak 1.1 juta wasiat telah didaftarkan dengan AmanahRaya. Manakala, lebih 14,000 fail pusaka dengan nilaian RM1.7 bilion dan 38,000 fail Amanah dengan nilaian RM1.3 bilion telah diurus dan ditadbir.
“Buat masa ini, hanya lima peratus daripada rakyat yang mempunyai wasiat iaitu suatu jumlah yang kecil. Kadar yang diperlukan untuk menjadi negara maju adalah 20 peratus.
“Oleh itu, masih banyak ruang untuk meningkatkan kesedaran serta peluang untuk ejen mendapatkan pelanggan untuk mendaftar,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Perniagaan dan Operasi Kumpulan, Jack Yap Ngee Heong berkata, sasaran keseluruhan kumpulan untuk penulisan wasiat bagi tahun ini adalah 5,000 dan pihaknya berharap aplikasi tersebut dapat membantu untuk mencapai sasaran tersebut.
“Selain perkhidmatan yang ditawarkan di cawangan kami, kami juga mendorong orang ramai untuk menggunakan aplikasi ini untuk urusan membuat wasiat mereka,” ujarnya.
Aplikasi mesra pengguna ini boleh dimuat turun ke peranti IOS dan Android melalui Apple App Store atau Google Play. – UTUSAN