MSAM 2024: Hadiah bernilai RM1 juta menanti pengunjung bertuah - Utusan Malaysia

MSAM 2024: Hadiah bernilai RM1 juta menanti pengunjung bertuah

Pengerusi Kumpulan PNB, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda dan Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad (tengah) bersama rakan korporat pada Majlis Jalinan Rakan Korporat Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2024 di Pusat Konvensyen Setia City, Setia Alam. - UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Karnival literasi kewangan terbesar Malaysia anjuran Permodalan Nasional Berhad (PNB) menawarkan pelbagai hadiah menarik bernilai sehingga RM1 juta kepada pengunjung Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2024.

Karnival tersebut akan berlangsung selama empat hari dari 22 Ogos sehingga 25 Ogos di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), Shah Alam, Selangor.

Pengerusi Kumpulan PNB, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata, hadiah utama merupakan satu unit pangsapuri perkhidmatan di Serasi Residences, Putra Heights yang menanti pengunjung bertuah.

“Selain kediaman impian, pengunjung bertuah turut berpeluang membawa pulang sebuah kereta BYD Dolphin Standar, Perodua Axia 1.0L AV. dan Perodua Perodua Ativa 1.0L Turbo AV.

“Karnival literasi kewangan terbesar Malaysia itu akan menampilkan konsep hibur didik yang lebih berimpak tinggi melalui pembelajaran berasaskan pengalaman

“MSAM telah menjadi sebahagian daripada komitmen yang tidak berbelah bahagi kepada pemegang unit kami dan kepada negara sejak 23 tahun lalu,” katanya semasa Majlis Jalinan Korporat, di sini, semalam.

Dengan membawa tema ‘Kukuhkan Hidup Anda di MSAM’, acara itu sejajar dengan matlamat PNB yang diperbaharui untuk mengukuh kedudukan kewangan rakyat, merentas generasi.

Meneruskan inisiatif dari tahun sebelumnya, beliau berkata, elemen pendidikan kewangan dan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) akan menjadi tumpuan dalam memberi inspirasi kepada golongan muda untuk menuntut ilmu dan pendidikan tinggi.

“MSAM kali ini membawakan lebih banyak aktiviti yang menyeronokkan dan melibatkan pengunjung bagi menarik penyertaan dari semua lapisan masyarakat.

“Selain daripada aktiviti lazim berkaitan celik kewangan dan perkongsian ilmu, beberapa program unik tahun ini termasuk aktiviti pelengkap seperti Festival Muzik Mini, Karnival Makanan Mini (Maybank Islamic MAE-Dan Selera) dan Festival Auto juga diadakan.

“Selain acara MSAM, program literasi kewangan lain yang dijalankan oleh Kumpulan PNB ialah Sembang-Sembang ASNB, Kuiz Pelaburan PNB, Kelab Pelaburan Bijak PNB (KPBPNB), Fiesta Labur PNB @ Home dan Ramah Mesra ASNB,” katanya.

Dalam pada itu, rakan korporat MSAM 2024 bakal terdiri daripada kategori rakan premier iaitu Malayan Banking Berhad (Maybank), SD Guthrie Berhad, Sime Darby Berhad dan S P Setia Berhad.

“Bagi kategori rakan utama pula ialah Sime Darby Property Berhad, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd (Perodua) dan MNRB Holdings Berhad, manakala kategori rakan pula ialah Duopharma Biotech Berhad dan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (Prolintas).

“Peranan Rakan Korporat MSAM 2024 juga akan dipamerkan kepada pengunjung sebagai penyumbang utama kepada sumber pendapatan PNB.

“Orang ramai boleh melihat sendiri kekukuhan syarikat-syarikat di mana wang mereka dilaburkan melalui unit amanah yang diuruskan oleh ASNB seperti Amanah Saham Bumiputera dan Amanah Saham Malaysia,” katanya.

Tambahnya, pengunjung juga boleh mempelajari bagaimana pulangan yang diperoleh melalui pelaburan dalam syarikat-syarikat strategik ini diagihkan semula kepada pemegang unit dalam bentuk agihan pendapatan.

“Kira-kira 50 pempamer terdiri daripada syarikat-syarikat Kumpulan PNB, ejen ASNB, badan kawal selia dan agensi Kerajaan Negeri akan mempamerkan aktiviti serta pameran pendidikan pelaburan yang menarik di MSAM 2024,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya