MR D.I.Y. rancang buka 10 lagi cawangan KKV tahun ini - Utusan Malaysia

MR D.I.Y. rancang buka 10 lagi cawangan KKV tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: MR D.I.Y. Group (M) Bhd. (MR D.I.Y.) bercadang membuka 10 lagi rantaian runcit KKV menjelang akhir tahun ini, dalam usahanya mempelbagaikan pilihan pengguna.

Penganalisis Maybank Investment Bank Bhd. (Maybank IB), Jade Tam, berkata, MR D.I.Y. yang memeterai usaha sama ekuiti 49 peratus untuk mengendalikan kedai KKV di Malaysia telah membuka tiga kedai KKV iaitu masing-masing satu cawangan di Kuala Lumpur dan dua lagi di Pulau Pinang.

“Data operasi jualan adalah terhad pada ketika ini, tetapi kami difahamkan bahawa jumlah jualan KKV adalah tiga kali ganda jualan MR D.I.Y. dengan saiz bakul purata yang lebih tinggi.

“KKV adalah kedai gaya hidup runcit dari China yang menawarkan pelbagai produk meliputi keperluan rumah, permainan, alat tulis, makanan dan minuman (F&B), pakaian serta kategori produk kecantikan,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Jelasnya, pada suku kedua berakhir 30 Jun 2024, MR D.I.Y. membuat pelaburan strategik dalam rantaian runcit KKV yang dijangka memberikan pertumbuhan pendapatan masa hadapan dengan menarik pangkalan pelanggan yang lebih luas selain mengembangkan tawaran runcitnya.

“Keuntungan bersih MR D.I.Y melonjak kepada RM155.21 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2024 berbanding RM150.32 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lalu, sejajar dengan hasil serta untung kasar lebih baik, tetapi diimbangi oleh perbelanjaan operasi lain yang lebih tinggi.

“Pendapatan bagi suku semasa meningkat 8.8 peratus kepada RM1.19 bilion daripada RM1.09 bilion, dipacu oleh sumbangan positif daripada kedai baharu.

“Lonjakan dalam hasil itu telah membawa kepada peningkatan tujuh peratus dari tahun ke tahun dalam keuntungan kasar kepada RM544.7 juta,” katanya.

Sementara itu, katanya, margin keuntungan kasar bagi suku kedua kekal stabil pada 45.5 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2023, berikutan normalisasi isu rantaian bekalan dan kos pengangkutan.

“Pada suku dikaji, kumpulan itu telah membuka 42 cawangan baharu, menjadikan jumlah keseluruhan kedai setakat separuh pertama 2024 kepada 1,340 kedai, menandakan penambahan sebanyak 14.7 peratus dari tahun ke tahun berbanding tempoh sama pada tahun sebelumnya.

“Keputusan suku kedua MR D.I.Y. adalah sejajar dengan jangkaan, manakla prospek kekal positif walaupun terdapat tekanan berterusan terhadap perbelanjaan pengguna, didorong oleh harga produk lebih rendah, keupayaan produk dan fokus pasaran massa.

“Peningkatan kos operasi juga terkawal dengan permulaan operasi gudang automatik baharu dan pengukuhan ringgit,” katanya.

Beliau berkata, Maybank IB mengekalkan saranan ‘beli’ terhadap saham MR D.I.Y. dengan harga sasaran tidak berubah pada RM2.45.

“MR D.I.Y. adalah pilihan utama ‘beli’ bagi sektor pengguna kami,” katanya.

Sementara itu, penganalisis RHB Investment Bank, Soong Wei Siang, berkata MR D.I.Y. menjadi pilihan utama bank pelaburan itu untuk memanfaatkan perkembangan positif yang diumumkan baru-baru ini, termasuk kenaikan gaji penjawat awam dan skim pengeluaran fleksibel daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Pada pandangan kami, kelompok pelanggan MR D.I.Y. tergolong dalam kelompok yang bakal menerima manfaat daripada kedua-dua langkah terbabit,” katanya.

RHB Investment Bank turut mengekalkan saranan ‘beli’ terhadap MR D.I.Y. dengan harga sasaran dinaikkan kepada RM2.40. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya