PETALING JAYA: Moomoo Securities Malaysia Sdn. Bhd. (Moomoo MY) komited memperluas akses pelaburan global dengan membuka peluang berdagang di pasaran Bursa Singapura (SGX) secara langsung menerusi aplikasinya.
Pengembangan strategik ini menandakan langkah penting dalam misi Moomoo Malaysia untuk memberikan pelabur Malaysia akses tanpa halangan ke pasaran global, dan membuka peluang yang pelbagai untuk pelabur Malaysia di salah satu bursa saham terkemuka di Asia.
Ketua Pegawai Eksekutif Moomoo Malaysia, Ivan Mok berkata, matlamat Moomoo sentiasa untuk mendemokrasikan peluang pelaburan untuk rakyat Malaysia.
“Dengan mengintegrasikan tawaran SGX ke dalam platform kami, bersama dengan alat-alat analisis, maklumat dan laporan pasaran mendalam dan terkini serta sumber pendidikan, kami membolehkan pengguna memanfaatkan pasaran yang pelbagai dan kukuh.
“Dengan itu menggalakkan keputusan pelaburan yang lebih bijak dan strategik. Ini adalah pencapaian penting dalam perjalanan kami untuk meningkatkan inklusiviti dan literasi kewangan di kalangan pelabur Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, perkembangan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pelabur tetapi juga menawarkan kelebihan yang ketara kepada syarikat tersenarai.
Ujarnya, semakin banyak syarikat tersenarai di SGX beralih kepada Moomoo untuk mencapai pangkalan pelabur serantaunya yang semakin meluas.
“Penyelesaian Perhubungan Pelabur (IR) Moomoo untuk syarikat tersenarai di SGX juga semakin mendapat sambutan, memberikan syarikat-syarikat ini akses kepada pangkalan pelabur yang lebih luas di rantau ini.
“Sebagai contoh, sebuah syarikat gergasi telekomunikasi akan menganjurkan webinar dengan Moomoo untuk pengumuman pendapatan mereka yang akan datang, untuk mengakses pangkalan pelanggan kami di seluruh rantau ini.
“Kerjasama ini menonjolkan minat dan penglibatan yang semakin meningkat dalam kalangan pelabur, yang didorong oleh platform komprehensif dan jangkauan luas Moomoo,” ujarnya.
Pengembangan Moomoo Malaysia ke SGX juga menampilkan struktur harga yang kompetitif, termasuk komisen 0 peratus, bagi mengurangkan halangan kos bagi pelabur.
Inisiatif ini selaras dengan misi Moomoo untuk menjadikan pelaburan lebih mudah diakses, seterusnya menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia untuk turut serta dalam pasaran ekuiti. – UTUSAN