MITI siasat anti-lambakan ke atas import produk gulungan rata besi atau keluli bukan aloi - Utusan Malaysia

MITI siasat anti-lambakan ke atas import produk gulungan rata besi atau keluli bukan aloi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan menerima petisyen daripada Perusahaan Sadur Timah Malaysia (Perstima) Berhad (Pempetisyen) yang memohon supaya siasatan duti anti-lambakan dijalankan ke atas import produk gulungan rata besi atau keluli bukan aloi.

Petisyen yang diterima pada 15 Julai lalui membabitkan produk dengan kelebaran 600 militer (mm) atau lebih, disalut, disadur atau disepuh dengan timah (electrolytic tinplate atau tinplate) (dagangan subjek) yang berasal atau dieksport dari China, India, Jepun dan Korea Selatan.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, pempetisyen mendakwa bahawa import dagangan subjek yang berasal atau dieksport dari negara-negara tersebut telah dijual pada harga yang lebih rendah daripada harga jualan domestik di pasaran negara tersebut (harga lambakan).

“Pempetisyen seterusnya mendakwa lambakan import dari negara tersebut telah meningkat dari segi kuantiti mutlak dan menyebabkan kemudaratan material kepadanya.

“Kerajaan telah menilai dan mempertimbangkan maklumat dan bukti lambakan, kecederaan dan kesan hubung kait yang dinyatakan dalam petisyen dan memutuskan untuk memulakan penyiasatan duti anti-lambakan ke atas import dagangan subjek yang berasal atau dieksport dari China, India, Jepun dan Korea Selatan.

“Ini berdasarkan seksyen 20 Akta Duti Balas & Anti-Lambakan 1993 (Akta) dan peraturan 7 Peraturan-Peraturan Duti Balas & Anti-Lambakan 1994 (Peraturan),” katanya dalam kenyataan.

MITI berkata, selaras dengan akta dan peraturan, penentuan awal akan dibuat dalam tempoh 120 hari dari tarikh permulaan siasatan.

Sekiranya penentuan awal adalah afirmatif, kerajaan akan mengenakan duti anti-lambakan sementara pada kadar yang diperlukan untuk mengelakkan kecederaan selanjutnya kepada industri tempatan.

“MITI akan mengedarkan satu set soal selidik dan dokumen berkaitan kepada pihak berkepentingan seperti pengimport, pengeksport atau pengeluar asing subjek dagangan di China, India, Jepun dan Korea Selatan serta persatuan-persatuan perniagaan dan kerajaan negara tersebut.

“Pihak berkepentingan lain yang berminat untuk mengambil bahagian dalam penyiasatan duti anti-lambakan ini boleh memohon untuk mendapatkan soal selidik secara bertulis kepada MITI selewat-lewatnya pada 29 Ogos 2024,” ujarnya.

Tambah kementerian, pihak berkepentingan juga boleh memberikan pandangan secara bertulis, jawapan soal selidik dan bukti sokongan tambahan kepada MITI selewat-lewatnya pada 13 September 2024.

“Sekiranya pihak berkepentingan tidak memberikan maklumat yang diperlukan atau maklumat dan pandangan tidak diterima dalam bentuk yang memadai dalam had masa yang ditetapkan, kerajaan boleh membuat penentuan awal berdasarkan fakta sedia ada,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya