KUALA LUMPUR: MISC Bhd. mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM540.9 juta pada suku kedua tahun kewangan 2024 berbanding RM452.9 juta yang direkodkan dalam suku sama tahun lalu.
Prestasi itu didorong keuntungan yang lebih tinggi dalam segmen marin dan kejuruteraan berat, terutamanya disebabkan peruntukan kos tambahan yang diiktiraf pada suku perbandingan dan tuntutan pemulihan kos.
Segmen perkapalan petroleum dan produk turut menyumbang keuntungan operasi yang lebih tinggi, mendapat manfaat daripada margin yang lebih baik.
Perolehan sesaham meningkat kepada 12.1 sen daripada 10.1 sen sebelumnya.
Bagaimanapun, hasil lebih rendah pada RM3.33 bilion berbanding RM3.55 bilion pada suku tahun lalu, terutamanya disebabkan oleh hasil yang lebih rendah daripada projek berterusan dalam segmen kejuruteraan marin dan berat.
Sepanjang tempoh enam bulan hingga 30 Jun 2024, MISC mencatatkan keuntungan bersih RM1.3 bilion di belakang hasil RM6.97 bilion berbanding keuntungan bersih RM1.07 bilion dan hasil RM6.63 bilion pada separuh pertama 2023.
Kumpulan itu mengisytiharkan dividen interim sebanyak lapan sen sesaham dan perlu dibayar pada 26 September 2024.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MISC, Zahid Osman berkata, prestasi kumpulan pada suku kedua 2024 mencerminkan daya tahan strategik dan kebolehsuaian kumpulan dalam menavigasi keadaan pasaran yang kompleks.
“Walaupun menghadapi beberapa halangan, portfolio terpelbagai kami dan tumpuan kepada kecemerlangan operasi telah membolehkan kami mencapai keputusan yang membanggakan.
“Kami tetap berdedikasi untuk memanfaatkan peluang pertumbuhan merentas segmen utama, memastikan kami terus menyampaikan nilai mampan untuk pemegang kepentingan sambil memajukan komitmen kami kepada peralihan tenaga yang adil,” katanya.
Melangkah ke hadapan, Zahid berkata, prospek pasaran perkapalan LNG kekal menggalakkan dengan kadar spot dijangka meningkat disebabkan permintaan bermusim dan potensi penyimpanan semula musim sejuk.
“Justeru, segmen aset dan penyelesaian gas berada pada kedudukan yang baik untuk mengekalkan pendapatan operasinya yang stabil, disokong oleh portfolio berdaya tahan piagam jangka panjangnya,” ujarnya.
Beliau menambah, segmen luar pesisir akan terus mendapat manfaat daripada aliran hasil yang boleh dipercayai yang dijana oleh portfolio kontrak jangka panjang sedia ada.
“Bagi segmen kejuruteraan marin dan berat, perbelanjaan modal (capex) huluan kekal menarik kepada jurusan tenaga disebabkan oleh harga minyak yang stabil yang dijangkakan untuk baki tahun ini dan tumpuan untuk memastikan keselamatan tenaga di tengah-tengah risiko geopolitik yang berterusan.
“Memandangkan permintaan yang semakin meningkat untuk penyelesaian rendah karbon, subsegmen kejuruteraan berat juga bertujuan untuk memanfaatkan peluang baharu daripada kedua-dua sektor tenaga konvensional dan bersih,” katanya. – UTUSAN