Mesyuarat pemegang saham PLC perlu dijalankan secara fizikal, hibrid - SC - Utusan Malaysia

Mesyuarat pemegang saham PLC perlu dijalankan secara fizikal, hibrid – SC

SURUHANJAYA Sekuriti
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) minta mesyuarat agung tahunan syarikat tersenarai awam (PLC) di Malaysia dijalankan secara fizikal dan hibrid.

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata, kajian tersebut mendapati banyak mesyuarat pemegang saham umum masih diadakan dalam format maya sepenuhnya, sama ada syarikat di Pasaran Utama atau Pasaran ACE.

“Walaupun mesyuarat maya sepenuhnya adalah keperluan semasa pandemik Covid-19, syarikat tersenarai perlu mengambil langkah yang perlu untuk beralih kembali kepada mesyuarat fizikal atau hibrid.

“Langkah ini akan meningkatkan kepercayaan terhadap syarikat tersenarai. Membina kepercayaan dalam pasaran modal adalah penting untuk menarik pelaburan dan akan membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta pasaran modal secara umum,” katanya dalam kenyataan.

Jelas beliau, pasaran PMKS adalah kunci kepada pasaran modal yang dinamik.

“Oleh itu, Pelan Induk Pasaran Modal 3 yang dilancarkan pada tahun 2021 menegaskan keperluan untuk mewujudkan persekitaran yang dapat memacu pertumbuhan PMKS.

“SC baru-baru ini juga melancarkan peta jalan komprehensif lima tahun untuk merangsang akses kepada pembiayaan pasaran modal bagi PMKS dan syarikat-syarikat peringkat pertengahan (MTC).

“Peta jalan tersebut bertujuan untuk mengembangkan pasaran modal PMKS dan MTC sebanyak tujuh kali ganda, daripada RM6.3 bilion pada tahun 2023 kepada RM40 bilion menjelang tahun 2028,” katanya.

Menurutnya, maklumat asas menunjukkan mempunyai jurang pembiayaan sekitar RM90 bilion dan perlu mencari cara untuk menanganinya.

“(Kita boleh menanganinya) dengan memperbaiki akses kepada pembiayaan dan meluaskan pilihan pembiayaan, termasuk membangunkan produk pasaran modal baru yang disesuaikan untuk memudahkan PMKS mendapatkan dana tersebut.

“Sebagai contoh, memperluas bilangan pengendali rakan-ke-rakan (P2P) yang memberi tumpuan kepada penawaran instrumen pembiayaan berasaskan hutan.

“Ini akan membolehkan MTC mendapatkan pembiayaan berasaskan hutang secara langsung daripada pelabur sambil mengurangkan bilangan perantara yang terlibat dalam proses tersebut.

Beliau juga menyatakan bahawa Dana Pelaburan Bersama Malaysia dengan tambahan RM100 juta daripada Belanjawan 2024 telah memainkan peranan penting dalam membantu PMKS mengumpul dana melalui platform pembiayaan crowdfunding ekuiti (ECF) dan P2P.

“Sejak tahun 2015, ECF dan P2P telah menyokong lebih daripada 18,000 PMKS, membantu mereka mengumpul sekitar RM8 bilion setakat Jun 2024.

“Peruntukan tambahan RM100 juta juga akan menyokong inisiatif penting dalam bidang pertanian, penjagaan kesihatan, pendidikan, alam sekitar, komuniti, dan pembangunan aset wakaf,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya