MDEC perkenal DE Rantau@Terengganu - Utusan Malaysia

MDEC perkenal DE Rantau@Terengganu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) memperkenalkan DE Rantau@Terengganu, destinasi terbaharu untuk nomad digital yang inginkan suasana tenang dan keindahan budaya di Malaysia.

Terletak di pantai timur Semenanjung Malaysia, Terengganu menawarkan gabungan unik pantai yang indah, warisan budaya yang kaya, dan kecantikan alam semulajadi, menjadikannya tempat pilihan untuk nomad digital.

Menurut MDEC, Terengganu menyertai lima lokasi DE Rantau lain yang dilancarkan bermula pada tahun 2022 iaitu Pulau Pinang, Langkawi, Melaka, Kuala Lumpur, dan Perak.

“Program DE Rantau bertujuan untuk meletakkan Malaysia sebagai destinasi pilihan nomad digital di Asia Tenggara sambil memacu penerimaan digital dan pelancongan di seluruh negara.

“Sejak diperkenalkan pada tahun 2022, Pas DE Rantau Nomad, iaitu satu kemudahan imigresen yang dicipta khusus untuk nomad digital warga luar negara, juga telah dipertingkatkan.

“Ia kini boleh dipohon oleh para professional yang bekerja di dalam bidang selain teknologi, membolehkan pelbagai bakat global untuk mengalami bekerja secara jarak jauh dari Malaysia, sambil melancong,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, jelas MDEC, syarat untuk mengemukakan jaminan bank bagi warganegara China dan Bangladesh telah digantikan dengan pilihan sama ada bon keselamatan atau bon peribadi.

“Penyesuaian ini mencerminkan komitmen MDEC untuk menjadikan Malaysia lebih mudah diakses dan mesra kepada nomad digital global,” katanya.

DE Rantau Nomad Pass telah menerima lebih daripada 3,500 permohonan, dengan 1,741 permohonan diluluskan.

Program ini juga menawarkan ekosistem yang dinamik dengan 2,183 Hab DE Rantau, iaitu pelbagai jenis tempat penginapan yang disahkan oleh MDEC sebagai tempat penginapan di lokasi strategik dan selamat, mempunyai internet jalur lebar berkelajuan tinggi, dan pelbagai kemudahan yang memudahkan penginap untuk bekerja secara jarak jauh.

Selain daripada itu, MDEC telah bekerjasama dengan 16 rakan ekosistem DE Rantau dalam pelbagai sektor seperti pengangkutan, pelancongan, perkhidmatan pembayaran tanpa tunai, penjagaan kesihatan, insurans, dan ruang kerja bersama (co-working space).

Pelancaran DE Rantau@Terengganu menjadi lebih istimewa dengan Kunjungan Pengenalan (Fam Trip) yang dianjurkan oleh Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dan MDEC, bertujuan untuk memperkenalkan komuniti nomad digital kepada keindahan dan keunikan Terengganu.

Dalam program selama tiga hari dua malam, empat puluh nomad digital tempatan dan luar negara serta ahli keluarga mereka akan dibawa ke beberapa tempat pelancongan utama, termasuk Jambatan Angkat Terengganu, Terengganu River Cruise, Pulau Kapas, Masjid Kristal, Pasar Payang, dan tarikan menarik yang lain di Kuala Terengganu.

MDEC kekal komited untuk mencipta destinasi di mana para nomad digital dapat berkongsi kemahiran, meningkatkan produktiviti, dan mendapatkan inspirasi baharu semasa berada di Malaysia.

Komuniti nomad digital DE Rantau yang semakin berkembang serta aktif menyertai acara dan program yang dianjurkan oleh MDEC dan rakan ekosistemnya, menunjukkan keberkesanan DE Rantau dan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi untuk nomad digital. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN