PETALING JAYA: Qube Integrated Malaysia dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) mengumumkan Syarikat Pertengahan Konsortium Malaysia (MCMTC) dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI) sebagai rakan kongsi strategik untuk Sidang Malaysia-China 2024 (MCS 2024).
Ahli Lembaga Pengarah MATRADE, Datuk Mohammad Medan Abdullah berkata, perkongsian strategik ini akan membawa kehadiran dinamik syarikat peringkat pertengahan Malaysia dan perbadanan besar.
Katanya, ini memastikan kejayaan sidang kemuncak dalam mengukuhkan hubungan perdagangan dan peluang pelaburan antara Malaysia, China, dan rantau ASEAN yang lebih luas.
“Komitmen kami untuk memperjuangkan syarikat peringkat pertengahan (SPP) Malaysia, yang merupakan pemacu utama pertumbuhan, inovasi dan pekerjaan dapat dilihat menerusi kerjasama ini,” katanya dalam kenyataan.
Berlangsung dari 17 hingga 19 Disember 2024 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia, MCS 2024 dengan tema ‘Prosperity Beyond 50’ akan menampilkan Ekspo Perdagangan dan Pelaburan Antarabangsa serta Persidangan Kepimpinan.
Dengan lebih 500 peserta pameran dan 10,000 pengunjung perdagangan, ia menyasarkan penjanaan berjumlah RM2 bilion pendahuluan perdagangan dan pelaburan, bagi menandakan ulang tahun ke-50 hubungan dua hala Malaysia-China dan berfungsi sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi dan inovasi.
Mohammad Medan berkata, SPP Malaysia telah menunjukkan ketahanan dan kebolehsuaian
yang luar biasa apabila berdepan cabaran global.
Menurut beliau, rangkaian luas serta pengalaman MICCI dalam mempromosikan perdagangan dan pelaburan antarabangsa akan memastikan penyertaan memberangsangkan dari pelbagai industri.
“Ini menjadikan acara sidang ini sebagai hab untuk perbincangan dan kerjasama yang akan memanfaatkan kedua-dua negara.
“Kerjasama ini akan memudahkan integrasi perniagaan, daripada perusahan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) kepada syarikat besar, memperhebatkan impak sidang kemuncak untuk menarik pemain industri utama dan pembuat keputusan,” katanya.