PETALING JAYA: MBSB Berhad melantik Ashraf Gomma Ali sebagai Ketua Pegawai Syariah dan Kelestarian kumpulan, berkuat kuasa pada 1 Ogos lalu.
Menurut kenyataan, beliau membawa pengalaman yang luas dan kepakaran mendalam dalam peranan penyeliaan, penasihatan, dan pengurusan syariah dengan kerjaya cemerlang merentasi lebih 15 tahun di Amerika Utara, Timur Tengah, dan Asia Tenggara.
“Pelantikannya menandakan langkah penting dalam komitmen MBSB untuk mengintegrasikan prinsip-prinsip syariah dengan kelestarian sebagai teras visi strategik syarikat.
“Beliau merupakan seorang sarjana syariah yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dan pakar perbankan Islam yang telah memainkan peranan penting dalam memajukan inovasi dalam kewangan Islam, terutamanya dalam bidang kelestarian dan integrasi (ESG).
“Beliau pernah berkhidmat sebagai penasihat kepada Kumpulan Bank Dunia, IFC mengenai hal-hal perbankan Islam dan telah menyumbang kepada penyediaan seksyen mengenai perbankan Islam dalam Prinsip Perbankan Lestari UNEP FI,” katanya.
Selain itu,katanya, Ashraf juga merupakan penasihat kepada badan-badan penggubal piawaian perbankan Islam antarabangsa yang terkenal, termasuk AAOIFI yang memainkan peranan penting menyediakan piawaian tadbir urus menggabungkan kelestarian dan prinsip maqasid (objektif syariah) dalam proses membuat keputusan bank-bank Islam.
“Kelayakan akademik Ashraf juga sangat mengagumkan kerana memiliki LLB dalam Syariah dan Pengajian Islam dari Universiti Umm al-Qura di Mekah dengan pengajian lanjut di Universiti Al-Azhar di Mesir.
“Beliau juga memperoleh ijazah dalam Kewangan dari Universiti Maryland dan Sarjana dalam Kewangan Islam dari INCEIF.
Dalam peranan baharunya di kumpulan MBSB, beliau akan mengawasi kedua-dua fungsi syariah dan kelestarian, satu langkah perintis bagi sebuah bank di Malaysia.
Tanggungjawab dual ini menekankan aspirasi MBSB untuk memimpin dalam mengintegrasikan prinsip-prinsip Syariah dengan kelestarian, meletakkan bank ini dalam kedudukan yang baik dalam bidang kritikal ini.
Sementara itu, Ashraf Gomma Ali berkata, terdapat keindahan dalam kesederhanaan dan kejelasan dalam kemudahan dan kecekapan, serta mendengar pihak berkepentingan dan berinovasi sebagai tindak balas.
“Saya percaya bahawa prinsip-prinsip syariah menawarkan rangka kerja yang kuat untuk mencipta produk kewangan yang bukan sahaja patuh tetapi juga memberi kesan positif, memacu hasil sosial dan alam sekitar yang baik.
“Sebagai sebuah bank yang dilahirkan dari masyarakat dan bergantung kepadanya untuk kewujudan berterusan, kita mempunyai tanggungjawab khas kepada masyarakat dan pihak berkepentingan kita, katanya.
Beliau menekankan kepentingan kerjasama antara sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kerajaan untuk mewujudkan ekosistem di mana impak positif bukan sekadar matlamat tetapi realiti.
“Impak positif adalah aspek yang paling mencabar dalam kelestarian, tetapi ia juga boleh menjadi yang paling memuaskan. Dengan menghubungkan ekosistem aktor secara kolaboratif, kita benar-benar dapat membuat perbezaan.
“Jika ini boleh dicapai di mana-mana, MBSB bersedia untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan anda ke arah masa depan yang lebih lestari,” katanya. – UTUSAN