PETALING JAYA: Matrix Concepts Holdings Berhad (Matrix Concepts) meraih keuntungan bersih sebanyak RM60.7 juta pada suku pertama berakhir 30 Jun 2024 (TK2025) dengan jualan hartanah baharu meningkat 5.2 peratus berbanding tahun lalu kepada RM321.3 juta.
Peningkatan jualan didorong permintaan yang sihat di semua pembangunan kumpulan termasuk pembangunan Sendayan di Seremban, Levia Residences di Kuala Lumpur dan Bandar Seri Impian di Kluang, Johor.
Berdasarkan prestasi jualan yang kukuh pada suku pertama, kumpulan menyasarkan untuk memperoleh RM1.3 bilion jualan hartanah baharu untuk tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025 (TK2025), dengan strategi pertumbuhannya disokong oleh saluran projek yang kukuh melebihi RM1.6 bilion, terletak secara strategik di kawasan utama termasuk Negeri Sembilan, Lembah Klang dan Johor.
Selain itu, jualan belum dibil kumpulan melonjak sebanyak 23.5 peratus kepada RM1.59 bilion pada 30 Jun 2024 daripada RM1.28 bilion pada 31 Mac 2024, memberikan pengiktirafan pendapatan masa depan dalam tempoh 15 hingga 18 bulan akan datang.
Pengerusi Matrix Concepts, Datuk Mohamad Haslah Mohamad Amin berkata, syarikat berada pada kedudukan strategik untuk memanfaatkan permintaan kukuh terhadap hartanah kumpulan di pembangunan Sendayan.
Ujarnya, pelancaran hartanah tahun ini pasti akan mendorong kumpulan untuk mencapai sasaran jualan dan mengekalkan trajektori pendapatan yang kukuh.
“Selain itu, perjanjian pembangunan tanah baharu kami dengan NS Corporation untuk 1,000 ekar tanah utama di koridor pembangunan Lembah Wawasan Malaysia 2.0 (MVV 2.0) yang melengkapi pemerolehan tanah seluas 1,382 ekar tahun lalu, menandakan pencapaian penting dalam perjalanan pertumbuhan syarikat.
“Inisiatif strategik ini menyediakan platform yang kukuh untuk pengembangan jangka panjang, memastikan kemampuan syarikat untuk menyampaikan pertumbuhan yang mampan hingga ke dekad akan datang,” katanya.
Menurut beliau, Megah Sedaya, sebuah entiti tujuan khas (SPV), akan bertindak sebagai pemaju utama untuk tanah baharu itu, dengan Matrix Concepts memegang 85 peratus ekuiti dan NS Corporation memegang baki 15 peratus.
“Kedua-dua kawasan tanah ini meliputi kawasan seluas 2,382 ekar dan mempunyai nilai pembangunan kasar yang dianggarkan sebanyak RM12 bilion.
“Projek yang luas ini akan membuka jalan untuk pembangunan bandar baharu yang dirancang untuk menawarkan campuran seimbang unsur perumahan, komersial, industri, institusi, rekreasi dan runcit,” katanya.
Tambah beliau, projek itu terletak secara strategik untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat dari Lembah Klang, pelancaran hartanah pertama dijangka dalam tempoh tiga tahun dan diharapkan dapat menyumbang dengan ketara kepada aliran pendapatan masa depan Matrix Concepts.