Malaysia sedia tingkatkan permintaan minyak sawit ke India - Utusan Malaysia

Malaysia sedia tingkatkan permintaan minyak sawit ke India

TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia bersedia memenuhi peningkatan permintaan India bagi minyak sawit menerusi jalinan kerjasama dengan syarikat-syarikat pengimport utama seperti Emami Agrotech Ltd, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Menurut hantarannya di platform X, Emami Agrotech merupakan antara pengimport minyak sawit terbesar di India dan pertemuan dengan syarikat itu di negara berkenaan adalah bagi membincangkan potensi Emami meningkatkan import minyak sawit dari Malaysia.

“India ialah pengimport terbesar minyak makan di seluruh dunia dengan 59 peratus importnya merangkumi minyak sawit,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut diiringi oleh Tengku Zafrul, mengadakan pertemuan dengan wakil tiga syarikat utama India iaitu Tata Consultancy Services (TCS), HCL Tech di New Delhi dan Emami Agrotech.

Anwar yang juga Menteri Kewangan, mengadakan lawatan rasmi ke India selama tiga hari yang berakhir semalam.

Perdana Menteri menyifatkan lawatan ke India berjaya membuahkan hasil apabila Malaysia meraih potensi perdagangan berjumlah RM8 bilion dalam sektor minyak sawit dan produk berasaskan minyak sawit, bahan kimia dan produk kimia, minyak dan gas serta alat ganti kapal terbang.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul dalam hantaran berasingan di platform sama berkata, TCS bakal meningkatkan pekerja lebih sekali ganda daripada 1,600 orang pada masa ini.

“TCS sudah membuka ibu pejabat untuk operasi ASEAN di Malaysia dan kini mereka ingin mengembangkan operasi di sini.

“Antara projek yang dirancang adalah pembukaan Pusat Kecemerlangan AI (kecerdasan buatan) dan Pusat Keselamatan Siber.

Tengku Zafrul berkata, HCLTech yang juga salah satu syarikat teknologi maklumat dan teknologi terbesar di India telah bertapak di Malaysia sejak 26 tahun lepas.

“Mereka merancang untuk mengembangkan operasi dengan tumpuan dalam bidang seperti kejuruteraan digital, termasuk data dan AI.

“Peningkatan operasi ini dijangka mewujudkan lebih daripada 1,500 pekerjaan berkemahiran tinggi untuk rakyat Malaysia,” ujarnya.

Beliau berkata bagi tempoh 2021 hingga Mac 2024, jumlah pelaburan digital yang diluluskan adalah hampir RM162 bilion yang turut mewujudkan kira-kira 3,700 peluang pekerjaan.

Tambahnya, MITI bersama kementerian-kementerian berkaitan akan sentiasa berusaha memudah cara pelaburan berkualiti dalam ekonomi digital, selaras dengan fokus Pelan Induk Perindustrian Baharu untuk meletakkan Malaysia sebagai hab AI generatif serantau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN