Malaysia perlu wujudkan dana kontingensi - MARC - Utusan Malaysia

Malaysia perlu wujudkan dana kontingensi – MARC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia perlu mewujudkan dana kontingensi negara pada selang masa yang ditetapkan untuk mengurangkan risiko kejadian besar, seperti yang berlaku semasa pandemik Covid-19, menurut Malaysian Rating Corp Bhd. (MARC).

Firma penarafan itu berkata, pengalaman semasa pandemik Covod-19 menunjukkan keperluan untuk membina dana kontingensi secara sistematik.

“Ini akan membantu memperluas saiz dana krisis atau dana penstabilan defisit, yang boleh digunakan secara aktif mengikut kriteria yang ditetapkan sekiranya berlaku perkembangan negatif yang besar,” katanya dalam satu kenyataan.

Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) mempunyai aset keseluruhan sebanyak AS$3.58 bilion (RM15.56 bilion) selepas membeli vaksin Covid pada 2021.

Malaysia juga mempunyai dana kontingensi Persekutuan untuk perbelanjaan kecemasan.

MARC memaklumkan, hutang kerajaan Malaysia sebagai peratusan daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencapai 64.3 peratus pada 2023 (2022: 60.2 peratus), hampir dengan had hutang undang-undang sebanyak 65 peratus,yang telah disemak naik daripada 60 peratus pada 2021.

“Sejak 2020, pinjaman kerajaan meningkat sebanyak 10.3 peratus setiap tahun, melebihi pertumbuhan ekonomi nominal sebanyak 5.1 peratus.

“Pada suku pertama 2024, hutang kerajaan mencapai tahap tertinggi pada RM1.21 trilion (suku keempat 2023: RM1.17 trilion),” katanya.

MARC berkata, walaupun Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (FRA) telah menetapkan had hutang kerajaan pada 60 peratus daripada KDNK, kerajaan menjangkakan nisbah hutang akan kekal tinggi dalam jangka pendek disebabkan oleh kadar pemulihan fiskal yang perlahan.

“Sasaran defisit fiskal sebanyak 3.5 peratus untuk tempoh 2024-2026 melebihi anggaran defisit penstabilan hutang kami, menekankan risiko pertumbuhan hutang yang semakin cepat di tengah-tengah kenaikan kos perkhidmatan hutang, kos berkaitan kebajikan dan perbelanjaan operasi serta pembangunan yang berterusan.

“Bagaimanapun, pembaharuan fiskal yang sedang berjalan dijangka meningkatkan keupayaan kerajaan untuk memenuhi had fiskal yang digariskan dalam FRA jangka panjang,” katanya.

Firma itu berkata, pendedahan Malaysia kepada risiko pertukaran asing adalah minimum, dengan hanya 2.6 peratus daripada hutang kerajaan dalam denominasi mata wang asing, berbanding 2.7 peratus pada 2022.

“Walaupun bukan pemastautin memegang 24.6 peratus daripada hutang kerajaan pada tahun 2023, tahap ini kekal di bawah kemuncak tahun 2016 sebanyak 32.2 peratus, mengehadkan risiko aliran keluar modal.

“Kedudukan pelaburan antarabangsa bersih negara yang kukuh dan pasaran modal domestik yang mendalam serta cair juga mengurangkan risiko luaran.

“Kami memperhatikan bahawa rizab antarabangsa, walaupun mencukupi, telah menurun kepada satu kali hutang luar jangka pendek pada 2023 daripada dua kali pada 2009 dan adalah lebih baik untuk memperkukuhkan kedudukan ini untuk menampan risiko luaran,” katanya.

Dalam pada itu, MARC berkata, Malaysia mempunyai prospek yang meyakinkan untuk meningkatkan kedudukan fiskalnya.

Katanya, di bawah kerangka Analisis Kemampanan Hutang yang dibangunkan oleh Kementerian Kewangan, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia, tahap hutang Malaysia boleh menurun kepada bawah 60 peratus daripada KDNK menjelang 2028 di bawah senario asas dengan purata pertumbuhan KDNK sebanyak 4.5 peratus dan kos pembiayaan dengan kadar kupon purata sebanyak 4.2 peratus.

“Walaupun risiko berkaitan pertumbuhan luaran dan keadaan pembiayaan telah berkurangan, pematuhan berterusan kepada langkah-langkah dasar penstabil hutang diperlukan untuk mencapai kedudukan fiskal yang lebih kukuh dan mampan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN