KUALA LUMPUR: Malaysia kini dilihat berada pada kedudukan baik dalam mendepani risiko kemelesetan ekonomi yang dijangka berlaku di Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh masa terdekat, antaranya berdasarkan hubungan rapatnya dengan China.
Pengarah Urusan Capital Dynamics Sdn. Bhd., Tan Teng Boo berkata, terdapat beberapa indikator jelas yang memberitahu AS sedang menuju ke arah kemelesetan, situasi yang mengakibatkan kejatuhan besar di pasaran saham utama Asia pada awal minggu ini.
“Antara indikator yang kurang popular, namun telah terbukti dan boleh dipercayai ialah Sahm Rule, yang memberitahu kemelesetan AS berlaku apabila purata pergerakan tiga bulan kadar pengangguran AS ialah 0.5 mata peratusan atau lebih di atas titik terendah dalam tempoh 12 bulan lalu.
“Nilai ambang ini telah diatasi pada Jumaat lalu, 2 Ogos 2024 apabila kadar pengangguran AS merekodkan 4.3 peratus, dengan bacaan Sahm Rule mencecah 0.53 mata pada Julai 2024.
“Kita melihat hampir semua indikator memberitahu bahawa AS kini berdepan kemelesetan ekonomi,” katanya pada sesi soal jawab kemelesetan dan bagaimana ini akan mempengaruhi Malaysia bersama pihak media di pejabatnya hari ini.
Pada masa yang sama, beliau yang penganalisis itu beranggapan hubungan rapat Malaysia dengan China mampu memberi kelebihan signifikan sekiranya AS mengalami kemelesetan.
Beliau turut memuji langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memohon untuk menyertai BRICS, iaitu pakatan melibatkan Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan merupakan langkah bijak ke arah dasar luar yang lebih seimbang.
Dalam pada itu, Teng Boo turut melihat kepada struktur eksport Malaysia, sejumlah 70 peratus daripadanya melibatkan pasaran Asia, hanya 14 peratus ke pasaran Amerika manakala, 9.4 peratus ke Eropah.
“Perlu diingat China juga sangat bergantung kepada eksport dan sekiranya pasaran global mengalami kemelesetan, ia perlu meningkatkan perbelanjaan pada peringkat domestik, yang memberi kita peluang untuk mengeksport lebih banyak ke sana.
“Syarikat-syarikat China juga menggemari Malaysia kerana terdapat persamaan dari segi budaya dan hubungan politik yang rapat, malah dengan membuka perniagaan di sini, mereka boleh turut mengeksport ke AS, mengambil kira hubungan antara AS dan China yang kompleks,” ujarnya. – UTUSAN