Malaysia catat RM146 bilion nilai jualan perdagangan borong dan runcit pada Jun - Utusan Malaysia

Malaysia catat RM146 bilion nilai jualan perdagangan borong dan runcit pada Jun

Perdagangan borong dan runcit catat nilai jualan RM146 bilion pada Jun. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perdagangan borong dan runcit Malaysia mencatatkan nilai jualan bulanan RM146 bilion meningkat 5.4 peratus tahun ke tahun pada Jun 2024, menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, peningkatan itu dipacu oleh subsektor perdagangan runcit yang meningkat 7.9 peratus kepada RM64.1 bilion.

“Perdagangan borong juga tumbuh empat peratus untuk mencatatkan RM64.9 bilion, diikuti oleh kenderaan bermotor dengan peningkatan 2.0 peratus untuk mencapai RM17.0 bilion.

“Bagi perbandingan bulanan, perdagangan borong dan runcit turun -1.3 peratus berbanding bulan sebelumnya disebabkan oleh kenderaan bermotor yang menurun 9.4 peratus,” katanya dalam kenyataan.

Beralih kepada prestasi mengikut subsektor, beliau memaklumkan pertumbuhan 7.9 peratus tahun ke tahun bagi perdagangan runcit disumbangkan oleh jualan runcit di kedai pengkhususan yang tumbuh 12.6 peratus untuk mencapai RM13.5 bilion.

“Kumpulan lain dalam subsektor ini yang turut menyumbang kepada pertumbuhan ini adalah jualan runcit di kedai bukan pengkhususan (8.8 peratus), Jualan runcit makanan, minuman dan tembakau (8.7 peratus) dan jualan runcit barangan isi rumah (7.3 peratus).

“Bagi perbandingan bulan ke bulan, jualan subsektor ini naik 0.2 peratus, disokong oleh jualan runcit di kedai pengkhususan (1.2 peratus), jualan runcit barangan isi rumah (1.4 peratus) dan jualan runcit barangan kesenian dan rekreasi (1.3 peratus),” katanya.

Mengulas lanjut mengenai subsektor perdagangan borong pula, jelasnya, kenaikan 4.0 peratus tahun ke tahun pada bulan ini disokong oleh jual borong bahan mentah pertanian dan haiwan hidup yang meningkat 7.9 peratus kepada RM5.9 bilion.

“Ini diikuti oleh jualan borong makanan, minuman dan tembakau (6.7 peratus), perdagangan borong tanpa pengkhususan (6.2 peratus) dan jualan borong barangan isi rumah (5.6 peratus).

“Bagaimanapun, bagi perbandingan bulanan, perdagangan borong jatuh -0.3 peratus, terutamanya disebabkan oleh penurunan dalam jual borong bahan mentah pertanian dan haiwan hidup (-3.0 peratus), jualan borong makanan, minuman dan tembakau (-0.3 peratus) dan jualan borong barangan isi rumah (-0.2 peratus).

Beliau berkata, pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 2.0 peratus bagi subsektor kenderaan bermotor pada Jun dipacu oleh penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan bermotor serta jualan komponen dan aksesori kenderaan bermotor.

“Masing-masing melonjak 10.0 peratus dan 9.2 peratus. Bagaimanapun, jualan kenderaan bermotor menurun -3.4 peratus pada bulan ini.

“Bagi perbandingan bulanan, subsektor ini menyusut -9.4 peratus, disumbangkan oleh penguncupan dalam semua kumpulan terutamanya Jualan kenderaan bermotor (-17.2 peratus),” katanya.

Mengulas lanjut berkenaan prestasi suku tahunan, peningkatan 6.4 peratus pada suku tahun kedua bagi perdagangan borong dan runcit didorong oleh subsektor perdagangan runcit yang meningkat 7.4 peratus kepada RM191.8 bilion.

“Ini diikuti perdagangan borong yang tumbuh 4.5 peratus untuk mencatatkan RM193.8 bilion.

“Subsektor kenderaan bermotor juga merekodkan pertumbuhan positif dengan 9.9 peratus untuk mencapai RM53.1 bilion pada suku tahun ini. Bagi perbandingan suku tahun ke suku tahun, sektor ini naik 2.2 peratus,” katanya.

Bagi indeks jualan runcit melalui internet pula katanta, indeks itu bertumbuh 4.8 peratus tahun ke tahun pada Jun 2024 berbanding 5.2 peratus pada Mei 2024.

“Bagi nilai pelarasan musim, indeks ini menokok 0.5 peratus berbanding bulan sebelum.

“Dari segi indeks volum, perdagangan borong dan runcit pada Jun 2024 mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 4.5 peratus.

“Pengembangan ini disumbangkan oleh semua subsektor iaitu perdagangan runcit (6.3 peratus), perdagangan borong (3.2 peratus) dan kenderaan bermotor (1.2 peratus). Sebaliknya, bagi indeks volum pelarasan musim, ia jatuh -0.8 peratus bulan ke bulan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN