KUALA LUMPUR: Asas ekonomi Malaysia dilihat kekal kukuh dalam mendepani risiko kemelesetan ekonomi di Amerika Syarikat (AS), disokong oleh kepelbagaian industri dan pasaran serta fokus kepada sektor berdaya tahan seperti semikonduktor.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, beliau turut melihat kegusaran mengenai ekonomi AS mungkin sedikit melampau, yang berpunca antara lainnya daripada peningkatan angka pengangguran di sana.
Jelas beliau, hari ini (semalam), pasaran saham di Asia Pasifik sudah kembali meningkat yang menunjukkan kerisauan itu mungkin dibesar-besarkan.
“Bagaimanapun, kita perlu bersedia menghadapi keadaan terburuk dan sebagai ekonomi terbuka dengan kadar perdagangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sekitar 130 peratus, kita perlu memastikan ekonomi kita adalah pelbagai, bukan hanya dari segi produk, malah pasaran.
“Bagi Malaysia, asas ekonomi kita masih kuat dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah mengumumkan unjuran awal KDNK bagi suku tahun kedua sebanyak 5.8 peratus dengan kadar inflasi masih rendah, kita yakin mampu mencapai tahap pertumbuhan yang disasarkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Pertemuan Konsultasi Kebangsaan mengenai Perdagangan Hijau anjuran Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) bersama Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNCTAD) di sini, hari ini.
Mengulas sama ada situasi di AS sekiranya semakin memburuk bakal menjejaskan pelan Strategi Semikonduktor Kebangsaan (NSS) yang diumumkan baru-baru ini, beliau menjelaskan, NSS merupakan program bersifat jangka panjang sehingga tahun 2030.
“Sekiranya, ada kejutan luaran kita perlu bersedia, namun jangan lupa sasaran jangka panjang, pasti akan ada turun naik, tetapi ia akan tetap bergerak ke arah atas.
“Selain itu, industri semikonduktor juga dilihat agak berdaya tahan dengan penggunaan kecerdasan buatan (AI) akan memerlukan cip mikro, tenaga, pusat data dan sebagainya jadi ia tidak akan banyak terjejas malah akan menjadi satu keperluan pada masa depan,” katanya.
Dalam pada itu, bercakap mengenai amalan ESG dalam perusahan kecil dan sederhana (PKS), beliau berkata, PKS digesa menggunapakai amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) secepat mungkin.
“Ia membantu syarikat tersebut, khususnya berkaitan eksport dalam berurusniaga dengan syarikat multinasional yang mengenakan syarat amalan tersebut
“Industri-industri PKS ini penting kerana bila mereka nak export ada pasaran-pasaran yang mempunyai kriteria yang ketat mengenai syarikat-syarikat ESG.
“Pada masa ini kriteria itu belum lagi ketat tahun ini, namun akan datang dan memang kita tahu, terutamanya di EU dan sebagainya dalam tahun 2030 akan banyak syarat-syarat yang lagi ketat dan mereka perlu bersedia,” katanya. – UTUSAN