MAG komited menerajui penyahkarbonan

MAG komited menerajui penyahkarbonan industri penerbangan awam di Malaysia

PHILIP See ketika mempengerusikan Sesi Meja Bulat Diskusi Kelestarian anjuran Rangkaian Kompak Global PBB Malaysia dan Brunei di Akademi Malaysia Airlines, Sepang di sini hari, semalam.-UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Malaysia Aviation Group (MAG) meneruskan komitmen syarikat penerbangan nasional itu untuk terus kekal komited dalam pelbagai program penyahkarbonan industri.

 Ketua Pegawai Kelestarian Kumpulan MAG, Philip See berkata, usaha konsisten tersebut bukan sahaja mampu melonjakkan lagi imej positif bagi operator udara berkenaan sebagai peneraju di negara ini malah mampu bersaing di arena sejagat.

Katanya, MAG boleh dianggap antara contoh terbaik kerana sudah merintis Program Karbon Korporat tersendiri yang berjaya diluncurkannya Jun 2023 lalu.

 “Inisiatif itu bukan sahaja selari misi aspirasi nasional, bahkan menjadi teladan pula kepada banyak operator luar negara. Meskipun mungkin boleh dianggap pemain baharu di peringkat Asia, namun jika banding syarikat penerbangan di barat sendiri, usaha kelestarian MAG sebenarnya jauh ke depan.

 “Kami bergerak konsisten dan cukup pantas dalam pelaksanaan penyahkarbonan tidak sahaja melibatkan teknologi pesawat, malah prihatin meliputi setiap aspek pengurusan,” katanya ketika ditemui selepas sesi Meja Bulat Diskusi Kelestarian di Akademi Malaysia Airlines Berhad di sini, semalam.

 Program yang julung kali itu anjuran bersama antara kumpulan berkenaan dengan pihak Rangkaian Kompak Global Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) bagi Malaysia dan Brunei.

 Beliau berkata, pihaknya berbesar hati kerana perbincangan ini disertai ramai rakan industri penerbangan global, badan antarabangsa selain pembuat dasar awam yang berwibawa.

 Uniknya, sesi itu kebetulan diadakan dua minggu setelah Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memaklumkan mengenai Peta Hala Tuju Penyahkarbonan Penerbangan Nasional.

 Pelan dipersetujui Kabinet itu bakal diluncurkan kerajaan bulan depan sebagai polisi garis panduan untuk semua operator penerbangan dan lapangan terbang di seluruh negara.

 Langkah berkenaan juga sejajar ke arah pelaksanaan bahan api penerbangan berlestari (SAF) sebagaimana digariskan Organisasi Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

 Menjelaskan lanjut, Philip berkata, sesi kali ini berjaya dalam menyaksikan pemain industri bebas bagi bertukar-tukar idea mengenai usaha mencapai misi penyahkarbonan.

 “Saya melihat ramai peserta teruja membangkitkan banyak cabaran apatah lagi sektor ini agak kompleks mendepani isu bahan bakar bio selain teknologi pesawat lestari,” katanya.

 Tambahnya, turut disentuh mereka ialah pelbagai rangka penyelesaian komprehensif melibatkan isu polisi kerajaan sedia ada terutamanya SAF dan karbon serta isu mekanisme bersesuaian.

Beliau berkata, semua inisiatif yang dirangka MAG, juga menepati Skim Pengurangan Offsetting Karbon Penerbangan Awam ditetapkan ICAO dengan sasaran sifar karbon menjelang tahun 2050.

 Philip berkata, misi penyahkarbonan penerbangan negara itu turut memberi banyak manfaat kepada Malaysia terutama dalam rangkaian ekosistem industri.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN