Loji kuasa arang batu diperlukan untuk penuhi permintaan pusat data - Utusan Malaysia

Loji kuasa arang batu diperlukan untuk penuhi permintaan pusat data

KIRA-KIRA 41 peratus loji kuasa di Semenanjung dijanakan oleh arang batu manakala lebih 47 peratus menggunakan gas asli. – GAMBAR/TNB NEWSROOM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Permintaan tinggi untuk pembangunan pusat data berpotensi mengekalkan loji janakuasa arang batu lebih lama di rantau Asia Pasifik (APAC) bagi memenuhi permintaan tenaga, kata Moody’s Ratings.

Naib Presiden Pegawai Kredit Kanan Awam, Kewangan Projek dan Infrastrukturnya, Spencer Ng berkata, apabila permintaan untuk data meningkat, ini bermakna mereka perlu mempunyai bekalan elektrik yang mencukupi.

Katanya, bagi banyak pasaran, ini bermakna sesetengah loji arang batu berpotensi terpaksa bertahan lebih lama.

“Semua pasaran yang sedang melalui peralihan perlu mengimbangi sasaran peralihan mereka kepada kebolehpercayaan bekalan tenaga serta kos tenaga kepada pelanggan akhir dan pengguna kuasa.

“Jadi, dalam pasaran dengan tenaga boleh baharu (RE) sudah menjadi kos pariti yang besar dan itu boleh berlaku.

“Namun kebanyakan pasaran di rantau ini, di mana RE masih lebih mahal, maka saya rasa, pembuat keputusan juga perlu memikirkan, apakah maksudnya dari segi kos dan daya saing industri pusat data?,” katanya dalam webinar Persidangan Bon dan Sukuk Malaysia MARC (MMBS 2024) di sini, hari ini.

Beliau berkata, walaupun dalam pasaran di mana kos sudah berada pada tahap yang besar untuk RE, terdapat had fizikal tentang berapa banyak kapasiti boleh dibawa dalam tempoh masa tertentu.

“Jadi saya fikir, secara ringkas, dalam kebanyakan keadaan, ia berpotensi memberi kesan ke atas persaraan loji janakuasa arang batu,” ujarnya.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan Malaysia menyasarkan untuk mengurangkan loji janakuasa arang batu kepada 50 peratus menjelang 2035 dan menghentikan sepenuhnya menjelang 2044.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Malaysia komited untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050 walaupun negara hanya menyumbang kepada 0.8 peratus daripada pelepasan global.

Negara juga telah mengambil langkah tegas, termasuk dasar yang berani dengan menghentikan pembinaan loji arang batu baharu.

Sementara itu, Naib Presiden Pegawai Kredit Kanan Moody’s Ratings, Nidhi Dhruv berkata, kapasiti pusat data rantau Asia Pasifik (APAC) dijangka meningkat dengan jangkaan pelaburan berjumlah AS$564 bilion (RM2.47 trilion) dalam tempoh empat tahun akan datang.

Katanya, ini termasuk kos pembinaan, pemerolehan tanah, sistem elektrik, pemanasan dan penyejukan serta pengudaraan berdasarkan kiraan satu kapasiti megawatt untuk pusat data dengan kos kira-kira AS$10 juta (RM43.8 juta) hingga AS$12 juta (RM52.6 juta).

“Dalam pada itu, jelas sekali terdapat kos yang lebih besar yang ditanggung oleh penyewa pada pelayan dalaman dan pengkomputeran serta peralatan yang berkaitan. Ini dianggarkan sekurang-kurangnya dua hingga tiga kali ganda pelaburan yang telah dibuat oleh pembangun itu sendiri.

“Kami juga telah mengandaikan kira-kira tiga peratus peningkatan inflasi tahunan untuk menganggarkan kos kemudahan pusat data baharu.

“Kerana dalam beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat kos yang lebih tinggi yang disebabkan oleh kekangan rantaian bekalan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya