KWSP rekod pendapatan boleh agih RM36.70 bilion - Utusan Malaysia

KWSP rekod pendapatan boleh agih RM36.70 bilion

kwsp
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merekodkan jumlah pendapatan boleh agih sebanyak RM36.70 bilion bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2024 (1H 2024), peningkatan 29 peratus daripada RM28.40 bilion dalam tempoh yang sama pada 2023.

Pendapatan boleh agih ini tidak termasuk keuntungan mark-to-market (MTM) bagi sekuriti yang belum direalisasikan.

Jumlah pendapatan boleh agih KWSP bagi suku kedua (S2 2024) selepas turun nilai kos adalah RM17.50 bilion, naik +25 peratus daripada RM13.98 bilion pada suku yang sama tahun lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, keadaan pasaran yang menggalakkan di Malaysia dan global menyumbang kepada pertumbuhan 29 peratus dalam pendapatan boleh agih pada 1H 2024, manakala aset di bawah pengurusan meningkat kepada RM1.21 trilion.

Jelas beliau, pasaran Malaysia telah mendapat manfaat daripada peningkatan sentimen pelabur terhadap dasar berorientasikan pertumbuhan dan pembaharuan fiskal.

“Pasaran global seperti Amerika Syarikat (AS) pula mendapat manfaat daripada keadaan makroekonomi yang kukuh, penurunan inflasi dan jangkaan permulaan kitaran pengurangan kadar faedah.

“Walaupun keadaan pasaran yang agak tenang, risiko dilihat akan kekal berikutan penjualan baru-baru ini dalam pasaran global dan peningkatan mendadak dalam turun naik yang disebabkan oleh peserta pasaran yang melepaskan beberapa kedudukan yang tertumpu dan sesak.

“Sebagai pelabur jangka panjang, KWSP akan meneruskan strateginya untuk membina portfolio yang pelbagai didorong oleh alokasi aset strategiknya,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, dalam suku tahun yang dikaji, pelaburan ekuiti terus menjadi penyumbang utama pendapatan bagi S2 2024 pada RM10.75 bilion selepas turun nilai kos, merangkumi 61 peratus daripada jumlah pendapatan boleh agih pada suku tahun dikaji.

“Prestasi pasaran ekuiti yang lebih baik di pasaran domestik dan pasaran maju global telah memacu pertumbuhan pendapatan berbanding RM7.84 bilion yang dicatatkan pada S2 2023.

“Penurunan nilai bagi tempoh yang dikaji adalah kecil pada RM0.69 bilion, disebabkan pengurusan portfolio aktif oleh pengurus dana dan prestasi pasaran ekuiti keseluruhan yang lebih baik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN