PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merekodkan peningkatan seramai 235,32 pendaftaran ahli baharu menjadikan jumlah keahlian kepada 16 juta pada separuh pertama 2024.
Daripada jumlah ahli tersebut, seramai 8.6 juta adalah ahli aktif, yang kini mewakili 50 peratus daripada 17.15 juta tenaga buruh Malaysia.
Pendaftaran majikan baharu pula sebanyak 37,284, meningkat kepada 610,357 pada tempoh sama.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, jumlah caruman yang diterima meningkat daripada RM50.48 bilion pada separuh pertama 2023 kepada RM57.35 bilion pada separuh tahun pertama 2024.
“Skim i-Saraan KWSP terus mencatat perkembangan dalam menyediakan jaminan pendapatan persaraan untuk rakyat Malaysia dalam sektor tidak formal dan gig, serta mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap.
“Sepanjang separuh pertama 2024, i- Saraan mencatatkan jumlah caruman RM1.61 bilion daripada 330,196 pencarum, mencerminkan peningkatan 103% daripada RM789.3 juta dan peningkatan 56 peratus daripada 211,361 pencarum dalam tempoh yang sama pada 2023,” katanya dalam kenyataan.
Ahmad Zulqarnain berkata, usaha program pasukan jangkauan luar KWSP dan kempen berterusan untuk meningkatkan simpanan ahli telah meningkatkan penyertaan dalam program i-Saraan dan caruman sukarela dengan ketara.
Pada separuh pertama 2024, KWSP mencatatkan pertumbuhan 39 peratus dalam jumlah pencarum sukarela kepada 742,556 daripada 535,307 pada separuh pertama 2023.
Jumlah caruman sukarela ialah RM7.51 bilion pada separuh pertama 2024, meningkat 91 peratus daripada terkumpul RM3.93 bilion tempoh yang sama tahun lepas.
Sementara itu, bilangan ahli sektor formal yang memilih untuk menyumbang memilih untuk menyumbang lebih daripada kadar berkanun ialah 27,121 pada separuh pertama 2024, berbanding 38,893 pada separuh pertama 2023.
Jelasnya, dengan memberikan sokongan kepada rakyat Malaysia seawal usia 14 tahun, KWSP bertekad dalam tujuannya untuk membina jaminan pendapatan persaraan dan menaikkan generasi akan datang.
“Komitmen ini sejajar dengan inisiatif ‘Raise the Floor’ yang digariskan dalam rangka kerja Ekonomi Madani bertujuan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat Malaysia
“Sejajar dengan itu, pelaburan strategik KWSP, yang berpandukan Alokasi Aset Strategik (SAA) dan disokong oleh pengawasan pelaburan yang proaktif, direka untuk memberikan impak positif kepada masyarakat dan alam sekitar.
“Pendekatan ini memastikan semua kepentingan terbaik pihak berkepentingan dipertimbangkan manakala KWSP terus memaksimumkan pulangan terlaras risiko peringkat portfolionya,” katanya. – UTUSAN