Kuasa beli rakyat meningkat, KDNK suku kedua mampu capai 5.8 peratus - Utusan Malaysia

Kuasa beli rakyat meningkat, KDNK suku kedua mampu capai 5.8 peratus

Orang ramai mengunjungi pusat beli-belah Pavalion di Bukit Bintang, Kuala Lumpur. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku kedua 2024 dijangka mencapai anggaran Jabatan Perangkaan dan penganalisis iaitu tumbuh 5.8 peratus, didorong peningkatan minat berbelanja oleh rakyat.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Mohd. Afzanizam Abdul Rashid, berkata, ia berikutan kadar pengangguran yang semakin berkurang seterusnya meningkatkan kuasa beli rakyat.

“Peniaga pula mencatatkan kutipan hasil yang tinggi dan memungkinkan mereka untuk menambah pekerja dan berbelanja untuk menaik taraf perniagaan seperti menambah cawangan, mengguna pakai teknologi serta membangunkan produk baharu.

“Kemungkinan untuk melepasi paras enam peratus atau sedikit rendah berbanding 5.8 peratus sememangnya ada, namun pandangan secara umum apabila angka KDNK melebihi paras lima peratus adalah sesuatu yang signifikan kerana ia menunjukkan aktiviti ekonomi sedang bergerak aktif,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Jelas beliau, meskipun demikian, ketidakpastian suasana ekonomi merupakan perkara utama yang menjadi kebimbangan kerana terdapat perbincangan yang melibatkan kemungkinan ekonomi Amerika Syarikat (AS) meleset.

“Justeru, dalam hal ini, pihak kerajaan sentiasa proaktif dan meneruskan agenda reformasi ekonomi bagi mewujudkan keyakinan terhadap ekonomi negara,” katanya.

Turut berpandangan yang sama, Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Profesor Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, kadar 5.8 peratus sudah dianggap cukup tinggi berbanding pertumbuhan ekonomi suku pertama negara.

“Ini sekali gus menunjukkan bahawa ekonomi aktiviti semakin meningkat, selaras dengan peningkatan nilai eksport,” katanya.

Mengenai mendepani risiko kemelesetan ekonomi yang dijangka berlaku di AS, Ahmed Razman berkata, kesannya dijangka dihadapi negara pada suku keempat tahun ini.

“Itu (kemelesetan ekonomi AS) mungkin impaknya pada suku keempat tahun ini nanti,” katanya.

Ekonomi Malaysia pada suku pertama 2024 tumbuh pada kadar 4.2 peratus, walaupun berhadapan dengan situasi ekonomi global yang tidak menentu.

Prestasi ini didorong oleh aktiviti permintaan domestik yang menggalakkan dan disokong oleh keadaan pasaran buruh yang lebih baik.

Bank Negara Malaysia memaklumkan, semua sektor ekonomi berkembang positif dengan KDNK Malaysia disumbang terutamanya oleh sektor perkhidmatan (59.3 peratus), pembuatan (23.1 peratus) dan pembinaan (3.9 peratus). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya