Keputusan Tesla tidak jejaskan Malaysia - Utusan Malaysia

Keputusan Tesla tidak jejaskan Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keputusan Tesla Inc. (Tesla) membatalkan perancangan membangunkan kilang di beberapa negara Asia Tenggara mungkin sebagai langkah strategik syarikat tersebut dan tidak akan menjejaskan Malaysia sebagai antara hab kenderaan elektrik (EV) di rantau ini.

Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Profesor Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, sehubungan itu, keputusan penarikan itu tidak perlu dirisaukan.

“Mungkin faktor prestasi jualan Tesla yang menghadapi persaingan sengit daripada pelbagai pembuat EV di seluruh dunia, terutama di Asia Timur iaitu China dan Korea Selatan.

“Malaysia pula tidak ketinggalan dalam kedudukan strategik rangkaian industri global ini, walaupun penarikan diri oleh Tesla sendiri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Menurut beliau, negara masih mempunyai kerjasama EV berskala besar di antara BYD dengan Sime Darby, di mana BYD merupakan penjual terbesar kenderaan EV didunia pada masa ini.

“Selain itu, Geely yang merupakan pemegang saham Proton juga turut membuat pelaburan besar di Malaysia untuk pengeluaran EV di Selatan Perak,” katanya.

Tesla dilaporkan tidak akan membina kemudahan pembuatan EV sama ada di Malaysia, Thailand atau Indonesia.

Memetik laporan akhbar Thailand, The Nation, berdasarkan sumber kerajaan Thailand, pengeluar EV itu sebaliknya hanya akan menumpukan kepada pengukuhan ekosistem stesen pengecasan.

Tesla sebelum ini dilaporkan bersedia untuk melabur AS$5 bilion untuk hab pembuatan Asia Tenggara dan memilih Thailand sebagai lokasi pilihan.

Pada masa sama, Malaysia dan Indonesia menawarkan peluang untuk Tesla membuka kemudahan pengeluaran mereka.

Sementara itu, penganalisis ekonomi, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berpendapat, kemungkinan Tesla tidak melihat negara ini sebagai potensi besar akibat saingan daripada China.

“Permintaan terhadap EV tidak berkembang seperti yang diharapkan dan walaupun Tesla merupakan peneraju industri ini, kini berdepan dengan cabaran besar, terutama dari China.

“China mampu menghasilkan kereta elektrik pada kos yang lebih rendah dengan teknologi yang hampir setara dengan Tesla.

“Walaupun teknologi mereka sedikit inferior, keupayaan pengeluaran yang lebih murah memberi kelebihan besar kepada pengeluar kereta elektrik dari China,” katanya.

Dalam pada itu, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memaklumkan, keputusan Tesla berkemungkinan satu keputusan komersial operasinya di peringkat global.

Jurucakap MITI dalam satu kenyataan berkata, tindakan pengeluar EV global itu bagaimanapun tidak mencerminkan pembaharuan perindustrian dan penambahbaikan landskap pelaburan yang diusahakan oleh MITI serta agensinya sejak Disember 2022.

Kenyataan itu juga menegaskan bahawa laporan media itu bukan kenyataan rasmi Tesla dan hanya berdasarkan ulasan daripada sumber yang identitinya dirahsiakan.

“Sebarang pengesahan laporan itu perlu dibuat oleh Tesla,” katanya.

Bagaimanapun, setakat ini, tiada sebarang kenyataan dikeluarkan daripada Tesla berhubung isu itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya