Kenaikan gaji penjawat awam bantu rangsang ekonomi domestik - Utusan Malaysia

Kenaikan gaji penjawat awam bantu rangsang ekonomi domestik

gaji
Penjawat awam dari kumpulan pelaksana di­jangka menikmati kenaikan gaji sehingga 42.7 peratus menerusi Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kenaikan gaji penjawat awam yang bakal diumumkan Jumaat ini dijangka merangsang ekonomi melalui peningkatan dalam permintaan domestik, terutamanya dalam sektor runcit, perkhidmatan dan perumahan.

Selain itu, kenaikan itu akan meningkatkan motivasi dan kepuasan kerja penjawat awam, seterusnya meningkatkan produktiviti dan kualiti perkhidmatan awam.

Profesor Kewangan Dan Keusahawanan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Datuk Prof Dr. Nik Maheran Nik Muhammad berkata, kadar baharu gaji itu berpotensi untuk memberi manfaat kepada ekonomi dan sosial, tetapi ia juga membawa risiko kewangan yang perlu diurus dengan berhati-hati oleh kerajaan.

“Dengan gaji yang lebih tinggi, penjawat awam mempunyai lebih banyak wang untuk dibelanjakan.

“Bagi penjawat awam yang berpendapatan rendah atau sederhana pula, kenaikan gaji ini dapat membantu mengimbangi kenaikan kos sara hidup, terutamanya dalam persekitaran inflasi yang tinggi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Sebaliknya, jelas Nik Maheran, terdapat beberapa risiko kenaikan gaji yang besar memerlukan perbelanjaan tambahan oleh kerajaan, yang boleh meningkatkan defisit belanjawan jika tidak diimbangi dengan peningkatan pendapatan kerajaan.

Jelas beliau, perkara ini mungkin memaksa kerajaan untuk mencari sumber pendapatan lain atau mengurangkan perbelanjaan dalam sektor lain.

“Dengan lebih banyak wang yang beredar dalam ekonomi, terdapat risiko bahawa ini boleh membawa kepada peningkatan inflasi, terutamanya jika peningkatan permintaan tidak seimbang dengan penawaran barang dan perkhidmatan.

“Di samping itu, kenaikan gaji dalam sektor awam mungkin menarik lebih ramai individu untuk bekerja dalam sektor ini, meninggalkan sektor swasta dengan kekurangan tenaga kerja atau memaksa majikan sektor swasta untuk menaikkan gaji, yang boleh menjejaskan kos operasi mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN