Kenaikan gaji bantu penjawat awam miliki rumah - Utusan Malaysia

Kenaikan gaji bantu penjawat awam miliki rumah

KENAIKAN gaji penjawat awam akan membantu mereka memiliki rumah yang berharga lebih tinggi. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jualan sektor hartanah dijangka meningkat didorong oleh pembelian hartanah jenis kediaman susulan pengumuman kenaikan gaji penjawat awam Jumaat ini.

Timbalan Ketua Pegawai Operasi (Perkhidmatan Korporat) MK Land, Nazri Tumin berkata, kesan daripada peningkatan pendapatan boleh guna dalam kalangan penjawat awam akan memberi impak positif terhadap ekonomi.

Ujarnya, sebagai pemaju hartanah, secara keseluruhan, kenaikan tersebut akan membuka lebih banyak peluang kepada rakyat untuk melibatkan diri dalam pasaran hartanah, sama ada untuk pembelian baharu atau menaik taraf kediaman sedia ada.

“Namun, adalah penting untuk kita memantau bagaimana peningkatan ini akan mempengaruhi pasaran secara keseluruhan, khususnya dalam aspek keperluan asas lain yang mungkin terkesan seperti harga makanan dan perkhidmatan.

“Ini kerana faktor kemampuan adalah antara perkara utama yang dipertimbangkan dalam menentukan harga produk kami,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Bagaimanapun, beliau tidak menjangkakan peningkatan pendapatan penjawat awam ini akan memberi kesan segera terhadap harga rumah dalam tempoh terdekat.

“Apa yang berkemungkinan meningkat seperti makanan, perkhidmatan dan lain-lain keperluan harian yang mungkin akan terkesan dengan perubahan dalam ekonomi ini,” ujarnya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Perundingan Hartanah Muslim Malaysia (PEHAM), Sr. Idzwan Izuddin Shah Ishak berkata, kenaikan kakitangan awam tidak memberi kesan dari segi kenaikan harga rumah.

“Bagaimanapun, saya melihat (kenaikan) ini memberi impak positif dari segi kemampuan untuk memiliki hartanah.

“Sekiranya gaji penjawat awam naik, maka, kelayakan pinjaman juga akan meningkat. Secara tidak langsung permintaan pada hartanah meningkat di atas faktor kelayakan pinjaman tersebut,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Anwar Ibrahim dijangka membuat pengumuman penting mengenai Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19, yang akan diadakan Jumaat ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Seramai 692,828 kakitangan kumpulan pelaksana melibatkan pegawai Gred 40 dan ke bawah bakal menikmati kenaikan pendapatan sehingga 42.7 peratus.

Kenaikan itu dijangka melibatkan peruntukan lebih RM10 bilion.

Kali terakhir kadar baharu kenaikan gaji penjawat awam diumumkan adalah sekitar 13 peratus pada 2013. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya