PETALING JAYA: Bilangan penganggur pada Jun 2024 terus menurun kepada 565,300 orang dengan kadar kekal 3.3 peratus, menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, kedudukan tenaga buruh negara kekal dalam trend pertumbuhan positif dengan sedikit peningkatan dalam bilangan penduduk bekerja, manakala penganggur terus menurun berikutan perkembangan kedudukan ekonomi.
Jelasnya, bilangan tenaga buruh terus meningkat dengan kenaikan bulan ke bulan sebanyak 0.1 peratus kepada 17.17 juta orang berbanding 17.15 juta orang pada Mei, mencatatkan kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) yang lebih tinggi pada bulan tersebut iaitu pada 70.4 peratus.
“Bilangan penduduk bekerja pula terus meningkat sebanyak 0.2 peratus kepada 16.61 juta orang (Mei 2024: 16.58 juta orang). Sebaliknya, bilangan penganggur pada bulan tersebut turun sebanyak 0.1 peratus bulan ke bulan kepada 565,300 orang (Mei 2024: 566,100 orang).
“Kadar pengangguran kekal pada 3.3 peratus seperti pada bulan sebelumnya,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas mengenai situasi guna tenaga, beliau berkata, 75.0 peratus daripada jumlah penduduk bekerja pada bulan tersebut adalah dalam kategori pekerja.
“Kategori ini mencatatkan kenaikan bulanan sebanyak 0.1 peratus kepada 12.46 juta orang (Mei 2024: 12.44 juta orang). Pada masa sama, kategori penduduk bekerja sendiri kekal pada trend positif dengan peningkatan 0.3 peratus kepada 3.06 juta orang (Mei 2024: 3.05 juta orang).
“Mengikut sektor ekonomi, sektor perkhidmatan terus menunjukkan peningkatan dalam bilangan penduduk bekerja, terutamanya dalam aktiviti perdagangan borong dan runcit, perkhidmatan makanan dan minuman serta maklumat dan komunikasi.
“Trend penduduk bekerja yang sama juga dilihat dalam sektor pembuatan, pembinaan, perlombongan dan pengkuarian, serta pertanian,” katanya.
Menjelaskan mengenai situasi pengangguran pada bulan itu, beliau menyatakan 79.9 peratus daripada jumlah penganggur pada bulan tersebut adalah merupakan penganggur aktif atau mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan.
“Kategori ini turun sedikit iaitu sebanyak 0.02 peratus merekodkan 451,900 orang berbanding 452,000 pada Mei.
“Dalam kalangan penganggur aktif, mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan merangkumi 61.5 peratus, manakala mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun meliputi 7.0 peratus.
“Begitu juga, mereka yang percaya bahawa tiada pekerjaan tersedia atau penganggur tidak aktif, turun sebanyak 0.5 peratus kepada 113,400 orang (Mei 2024: 114,000 orang).
“Kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun kekal pada 10.5 peratus, mencatatkan 305,000 penganggur belia (Mei 2024: 305,600 orang). Manakala, kadar pengangguran dalam kalangan belia berumur 15 hingga 30 tahun adalah 6.5 peratus dengan bilangan penganggur belia seramai 434,200 orang (Mei 2024: 434,600 orang),” katanya.
Bagi kumpulan tidak aktif pula bilangan penduduk di luar tenaga buruh terus berkurangan, turun sedikit iaitu sebanyak 0.02 peratus kepada 7.23 juta orang berbanding 7.23 juta orang pada Mei.
“Kerja rumah atau tanggungjawab keluarga merupakan sebab utama bagi luar tenaga buruh dengan 42.8 peratus, diikuti oleh sebab bersekolah atau latihan sebanyak 41.4 peratus,” katanya.
Mengulas prestasi keseluruhan bagi suku tahun kedua 2024, beliau berkata, bilangan tenaga buruh mencatatkan trend positif, dengan peningkatan sebanyak 1.1 peratus kepada 17.15 juta orang (ST1 2024: 16.96 juta orang).
“Oleh itu, KPTB meningkat sebanyak 0.3 mata peratus kepada 70.5 peratus (ST1 2024: 70.2 peratus). Bilangan penduduk bekerja naik sebanyak 1.2 peratus, mencecah kepada seramai 16.59 juta orang pada suku tahun tersebut (ST1 2024: 16.40 juta orang).
“Sementara itu, bilangan penganggur terus berkurang sebanyak 0.6 peratus kepada 557,800 ribu orang (ST1 2024: 561,100 ribu orang), merekodkan kadar pengangguran 3.3 peratus pada suku tahun kedua 2024 (ST1 2024: 3.3 peratus). – UTUSAN