ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri berhasrat meletakkan Zon Kewangan Khas (SFZ) Forest City di bawah inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang sedang dirangka kedua-dua negara ketika ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri, Lee Ting Han berkata, perkara tersebut akan diajukan pihaknya dalam mesyuarat jawatankuasa JS-SEZ.
“Pengumuman berkaitan pelaksanaan SFZ Forest City ini dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kira-kira setahun lalu dan pelbagai usaha telah digerakkan sejak itu. Jika langkah ini berjaya dibuat, ia akan memperkukuhkan lagi hubungan dua negara, sekali gus membolehkan Malaysia mengadakan lebih banyak kerjasama ekonomi dengan Singapura pada masa depan.
“Ini termasuk membangunkan kawasan Forest City sebagai zon integrasi perkhidmatan penjagaan kesihatan, pelancongan, pendidikan dan hartanah seperti pelan induk Forest City yang dilancar pada 2016.
“Pindaan juga telah dibuat kerajaan bagi membolehkan Forest City menjadi zon perniagaan bebas cukai,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.
Ting Han berkata, pihaknya fokus untuk membantu pelaburan asing memasuki SFZ Forest City menerusi peningkatan tenaga kerja berkemahiran dan kesalinghubungan antara kawasan sekitar.
“Sektor baharu yang ditambah dalam pembangunan SFZ Forest City adalah sektor kewangan. Ini dibantu dengan lokasi strategiknya yang berhampiran dengan Singapura, iaitu sebuah hab kewangan dan logistik antarabangsa rantau ini.
“Dalam pada itu, kita juga menjangkakan lebih banyak maklumat termasuk pemberian insentif untuk SFZ dijangka akan diumum menjelang akhir bulan ini, iaitu sebelum perjanjian JS-SEZ ditandatangani Malaysia dan Singapura.
“Kita juga cadangkan apa sahaja insentif diberi kerajaan menerusi JS-SEZ akan turut dinikmati pelabur SFZ. Ini kerana kita mahu syarikat antarabangsa jadikan Forest City sebagai lokasi pelancaran produk bagi mereka tembusi pasaran antarabangsa,” katanya. – UTUSAN