IPP naik 5% pada Jun, kekal momentum positif enam bulan berturut - Utusan Malaysia

IPP naik 5% pada Jun, kekal momentum positif enam bulan berturut

PERMINTAAN global untuk sarung tangan terus meningkat sebanyak 15 peratus setahun, disokong oleh peningkatan kesedaran tentang kepentingan penjagaan kebersihan.- GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) meningkat 5.0 peratus pada Jun 2024, sekali gus mengekalkan momentum positif selama enam bulan berturut-turut, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, peningkatan IPP itu selepas mencatatkan pertumbuhan 2.4 peratus pada bulan sebelumnya.

“Pertumbuhan keluaran dalam sektor pembuatan merupakan penyumbang utama dengan peningkatan sebanyak 5.2 peratus pada Jun berbanding 4.6 peratus pada Mei, diikuti oleh pemulihan 4.9 peratus dalam pengeluaran sektor perlombongan (Mei 2024: -6.9 peratus).

“Pada masa sama, sektor elektrik meningkat 3.5 peratus (Mei 2024: 4.5 peratus). Perbandingan dengan bulan sebelumnya, IPP meningkat 4.8 peratus berbanding 3.5 peratus yang direkodkan pada Mei,” katanya dalam kenyataan.

Jelasnya, kenaikan 5.2 peratus dalam sektor pembuatan didorong terutamanya oleh pengembangan dalam industri berorientasikan eksport pada 5.4 peratus (Mei 2024: 3.7 peratus), mencatatkan pertumbuhan tertinggi sejak September 2022.

“Pengembangan pengeluaran yang kukuh dilihat dalam pembuatan kok dan produk petroleum bertapis yang memulih kepada 12.5 peratus (Mei 2024: -5.5 peratus), dan pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan yang meningkat pada kadar lebih laju sebanyak 11 peratus (Mei 2024: 4.8 peratus),” katanya.

Selain itu, beliau berkata, pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal turut menyokong pertumbuhan iaitu 4.9 peratus (Mei 2024: 8.4 peratus).

“Prestasi industri berorientasikan eksport ini selari dengan pertumbuhan positif dalam eksport barangan perkilangan negara sebanyak (6.4 peratus. Perbandingan bulan ke bulan, industri berorientasikan eksport melonjak 11.8 peratus (Mei 2024: 9.0 peratus).

Sementara itu, beliau menjelaskan, industri berorientasikan domestik bertumbuh sederhana 4.6 peratus berbanding 6.4 peratus yang direkodkan pada Mei.

“Pertumbuhan lebih perlahan ini disebabkan oleh penurunan 10.7 peratus dalam pembuatan kenderaan bermotor, treler dan semi treler (Mei 2024: 10.3 peratus), dan penyederhanaan dalam pembuatan produk prosesan makanan kepada 3.9 peratus (Mei 2024: 4.3 peratus).

“Selain itu, terdapat peningkatan dalam pengeluaran output pembuatan berkaitan aktiviti pembinaan iaitu pembuatan produk logam yang direka, kecuali mesin dan kelengkapan (12.6 peratus), pembuatan produk galian bukan logam lain (8.9 peratus) dan pembuatan logam asas (8.0 peratus).

“Ini sekali gus mengurangkan kesan penyederhanaan. Berbanding dengan Mei, industri berorientasikan domestik merosot 5.4 peratus berbanding pertumbuhan positif 2.3 peratus pada bulan lepas,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, pengeluaran dalam sektor perlombongan meningkat 4.9 peratus pada Jun berbanding penurunan 6.9 peratus yang direkodkan pada bulan sebelumnya.

“Pertumbuhan ini didorong oleh pemulihan sebanyak 6.0 peratus yang dicatatkan dalam pengeluaran gas asli (Mei 2024: -10.3 peratus) dan pertumbuhan 3.4 peratus dalam pengeluaran minyak mentah dan kondensat (Mei 2024: -1.9 peratus) pada bulan tersebut.

“Sementara itu, penjanaan elektrik bertumbuh 3.5 peratus tahun ke tahun pada Jun (Mei 2024: 4.5 peratus). Berbanding Mei tahun ini, indeks perlombongan meningkat 4.0 peratus, manakala indeks Elektrik merosot 6.2 peratus.

“Melihat kepada prestasi beberapa negara, IPP bertumbuh positif di China, Korea Selatan, Taiwan, Vietnam, dan Amerika Syarikat. Sebaliknya, Singapura, Thailand dan Jepun mengalami penurunan dalam IPP pada Jun,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN