PETALING JAYA: Indeks volum Perdagangan borong dan runcit negara merekodkan pertumbuhan 4.9 peratus tahun ke tahun pada suku tahun kedua 2024 untuk mencapai 155.4 mata, menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Sri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, peningkatan itu disumbangkan oleh subsektor kenderaan bermotor yang tumbuh 9.0 peratus kepada 132.0 mata.
“Ini diikuti oleh perdagangan runcit dan perdagangan borong yang meningkat masing-masing 5.5 peratus dan 3.1 peratus.
“Bagi perbandingan suku tahun ke suku tahun, indeks volum kembali positif dengan 1.7 peratus, disokong oleh subsektor perdagangan runcit (2.4 peratus) dan perdagangan borong (1.7 peratus),” katanya.
Beralih kepada prestasi mengikut subsektor, beliau memaklumkan, pertumbuhan positif 9.0 peratus bagi indeks volum kenderaan bermotor dipacu oleh jualan komponen dan aksesori kenderaan bermotor dengan 9.7 peratus.
“Ini diikuti oleh jualan kenderaan bermotor (9.4 peratus) serta penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan bermotor (6.2 peratus). Bagaimanapun, bagi perbandingan suku tahunan, indeks volum kenderaan bermotor merosot dengan -1.5 peratus,” katanya.
Mengulas lanjut prestasi indeks volum perdagangan runcit, beliau berkata, peningkatan sebanyak 5.5 peratus bagi subsektor ini disumbangkan oleh jualan runcit makanan, minuman dan tembakau dengan 7.2 peratus.
“Ini diikuti oleh jualan runcit di kedai pengkhususan (6.3 peratus), jualan runcit di kedai bukan pengkhususan (6.2 peratus) dan Jualan runcit bukan di kedai, gerai atau pasar (6.0 peratus).
“Dari segi perbandingan suku tahun ke suku tahun, indeks volum perdagangan runcit naik 2.4 peratus,” katanya.
Sementara itu, katanya, indeks volum perdagangan borong merekodkan pertumbuhan positif 3.1 peratus, disokong oleh jualan borong makanan, minuman dan tembakau dengan 7.3 peratus.
“Ini diikuti oleh jual borong bahan mentah pertanian dan haiwan hidup (6.8 peratus), jual borong berdasarkan kontrak atau yuran (4.4 peratus), perdagangan borong tanpa pengkhususan (3.6 peratus) dan lain-lain pengkhususan jualan borong (2.5 peratus).
“Bagi perbandingan suku tahunan, indeks volum 0erdagangan borong meningkat 1.7 peratus berbanding suku tahun lepas.
“Bagi indeks volum pelarasan musim, Perdagangan borong dan runcit meningkat 5.3 peratus berbanding suku tahun pertama 2024, disokong oleh semua kumpulan iaitu kenderaan bermotor (26.7 peratus), perdagangan runcit (5.0 peratus) dan perdagangan borong (3.1 peratus),” katanya. – UTUSAN