PETALING JAYA: Indeks Pelopor (IP) meneruskan pertumbuhan positif dengan mencatatkan peningkatan 3.5 peratus, mencapai 113.4 mata pada Jun 2024 berbanding 109.6 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, Indeks Perusahaan Bursa Malaysia mempamerkan prestasi kukuh dengan peningkatan sebanyak 42.2 peratus dan menjadikannya penyumbang utama kepada peningkatan itu.
“Bagaimanapun, prestasi bulanan IP menurun secara marginal kepada 0.7 peratus disebabkan oleh penurunan dalam lima daripada tujuh komponen, kecuali Indeks Perusahaan Bursa Malaysia (0.4 peratus) dan Penawaran Wang Benar, M1 (0.2 peratus).
“Melihat kepada arah aliran jangka panjang terlicin pada Jun, IP kekal berada di atas trend 100.0 mata. Trajektori positif ini menggambarkan pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mampan dan berdaya tahan.
“Memandangkan Malaysia adalah ekonomi yang dipacu oleh pengguna, pelaksanaan inisiatif pelarasan gaji dijangka akan merangsang perbelanjaan domestik,” katanya dalam kenyataan.
Berhubung prestasi ekonomi semasa, beliau berkata, Indeks Serentak (IS) mengekalkan pertumbuhan positifnya sejak September 2021 dengan peningkatan sebanyak 2.6 peratus, mencapai 126.4 mata pada Jun 2024.
“Nilai Caruman Benar KWSP sebanyak 8.5 peratus merupakan pemacu utama kepada kenaikan ini, diikuti oleh peningkatan sebanyak 6.4 peratus dalam Indeks Kuantiti Perdagangan Runcit.
“Selari dengan itu, prestasi bulanan IS menunjukkan corak yang sama, meningkat sebanyak 0.2 peratus disumbangkan oleh kesemua komponen kecuali Kapasiti Penggunaan dalam Pembuatan (-0.3 peratus). – UTUSAN