PETALING JAYA: Jumlah hutang keseluruhan negara akan mula menurun bermula 2027 ke atas apabila jumlah hutang terdahulu yang matang akan mula berkurang, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
Jelas Rafizi, dalam tempoh dua tahun mentadbir, hutang baharu tahunan telah berjaya diturunkan sebanyak RM14 bilion, iaitu RM86 bilion bagi 2024 berbanding RM100 bilion dalam 2022.
“Jika prestasi ini dapat dikekalkan , jumlah hutang keseluruhan negara insha allah akan mula menurun bermula 2027 apabila jumlah hutang terdahulu yang matang itu akan juga mula berkurang,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Terdahulu, Rafizi berkata, baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa jumlah hutang baharu berkurang setiap tahun setelah kerajaan Madani mengambil alih.
Rafizi menjelaskan, hutang baharu yang diambil kerajaan dijangka turun kepada RM86 bilion untuk 2024 berbanding RM93 bilion dalam 2023 dan RM100 bilion dalam 2022.
“Saya selalu terangkan bahawa pada masa yang kerajaan komited untuk mengurangkan hutang baru setiap tahun kita masih perlu membayar hutang yang diwarisi.
“Jadi jumlah hutang tahunan itu perlu mengambil kira bayaran hutang terdahulu setiap tahun Disamping hutang baru yang dibuat tahun itu,” katanya.
Dalam hantaran video berdurasi 3 minit 16 saat tu, Rafizi memberitahu, walaupun ekonomi makin baik cukai yang dikutip lebih tinggi namun, hutang yang diambil oleh kerajaan terdahulu kini perlu dibayar oleh kerajaan sekarang dan jumlah keseluruhan masih tinggi.
“Sehubungan itu, prestasi mengurangkan hutang perlu diteliti juga dari segi jumlah hutang baharu seperti yang dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.
Baru-baru ini, Anwar menegaskan bahawa kerajaan komited mengurangkan pinjaman bersih atau hutang baharu sebagai langkah jangka pendek meningkatkan keupayaan kewangan negara.
Anwar ketika berucap merasmikan Persidangan Cukai Kebangsaan 2024 menegaskan bahawa kerajaan menyasar untuk mengurangkan pinjaman tahunan kepada RM86 bilion bagi 2024 berbanding RM93 bilion pada 2023, dan RM100 bilion pada 2022.
Beliau berkata, pada 2021 dan 2022, negara berhutang sebanyak RM100 bilion sebelum dikurangkan secara berperingkat oleh kerajaan Madani.