PETALING JAYA: HSS Engineers Berhad (HEB) hari ini memperoleh Surat Arahan (LOI) daripada Yellowwood Properties Sdn. Bhd (YPSB) bagi perkhidmatan pengurusan pembinaan projek pusat data bernilai RM10.3 juta.
Menurut pemfailan di Bursa Malaysia, LOI tersebut diperoleh melalui syarikat sekutunya, HSS Integrated Sdn. Bhd. (HSSI).
Katanya, perkhidmatan yang diberikan kepada YPSB adalah untuk sebuah kampus pusat data baharu yang akan ditempatkan di Sedenak Tech Park di Kulai, Johor.
“Anggaran tempoh perkhidmatan adalah selama 22 bulan mulai Ogos 2024.
“LOI dikeluarkan menurut perjanjian rangka kerja sedia ada untuk perkhidmatan perundingan antara YPSB dan HSSI sejak 2023,” katanya.
HEB berkata, skop perkhidmatan HSSI hendaklah meliputi semua fasa projek termasuk tetapi tidak terhad kepada kawalan dan pelaporan projek, perancangan, pengurusan pembinaan dan pengurusan kesihatan dan keselamatan.
“Perkhidmatan tersebut dijangka menyumbang secara positif kepada hasil, pendapatan dan aset bersih HEB Group bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 hingga 31 Disember 2026.
“Perkhidmatan tidak akan memberi sebarang kesan ke atas modal saham dan/atau struktur pegangan saham HEB,” ujarnya.
Tambahnya, perkhidmatan tersebut dijangka akan dibiayai melalui dana yang dijana secara dalaman dan/atau pinjaman luar.
“Lembaga Pengarah, selepas mempertimbangkan semua faktor yang berkaitan berpendapat bahawa penerimaan LOI adalah demi kepentingan HEB Group dan merupakan langkah kritikal ke hadapan, sejajar dengan objektif strategik kumpulan,” jelasnya. – UTUSAN