Harga MSM dijangka susut 3.9 peratus - Utusan Malaysia

Harga MSM dijangka susut 3.9 peratus

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga minyak sawit mentah (MSM) hantaran tempatan pada Ogos 2024 dijangka susut sebanyak 3.9 peratus berbanding bulan lalu kepada kira-kira RM3,876 setiap tan, kata MIDF Research.

Firma penyelidikan itu percaya potensi kenaikan kini terhad oleh pemulihan dalam pengeluaran buah tandan segar (FFB) & MSM yang lebih tinggi, memandangkan tanaman sawit sedang memasuki musim tanaman tinggi dan kitaran pendebungaan hampir berakhir.

Jelas firma penyelidikan itu, minyak sawit mentah pada Julai 2024 telah diperdagangkan lebih tinggi daripada yang dijangkakan berikutan peningkatan mendadak daripada pasaran eksport.

“Harga MSM hantaran tempatan menamatkan bulan pada RM4,043/Mt (+1.2 peratus bulan ke bulan), secara purata meningkat kepada RM4,034/Mt (+1.9 peratus bulan ke bulan) berikutan permintaan mendadak di negara-negara pengimport Utama,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan neutral untuk sektor perladangan pada masa ini dengan harga sasaran purata MSM yang telah disemak naik kepada RM3,800 setiap tan untuk keseluruhan tahun 2024 berbanding unjuran sebelum ini, RM3,600 per tan.

MIDF Research turut berpendapat hasil syarikat akan terus meningkat pada suku pertama hingga suku kedua 2024(1Q-2QCY24) sejajar dengan harga purata MSM yang tinggi, yang banyak dipengaruhi oleh musim tanaman rendah dan cuaca kering

“Pilihan utama kami kekal 10l Corp. Prospeknya kekal stabil dan disokong dengan baik oleh keuntungan huluan dan hiliran.

“Kilang penapisan dan kilang oleo terlindung daripada kos input yang tinggi kerana lokasi strategiknya, berbeza dengan syarikat seumpamanya yang beroperasi di Eropah, yang kebanyakannya terjejas oleh kos pengeluaran yang tinggi – gas asli yang mahal,” jelasnya.

Di samping itu, MIDF Research menurunkan penilaian KL Kepong dan PPB Group Berhad kepada Neutral, kerana lonjakan harga saham baru-baru ini telah mengehadkan potensi kenaikan mereka masing-masing kepada 7.6 peratus dan 8.0 peratus.

“Kami juga menaikkan penilaian FGV Holdings kepada Neutral daripada Jual kerana potensi penurunan yang terhad memandangkan harga saham telah hampir mencapai harga sasaran kami sebanyak RM1.14 sesaham.

“Kami mengekalkan penilaian Neutral untuk sektor ini pada masa ini dengan harga sasaran purata MSM yang telah disemak kepada RM3,800/Mt,” ujarnya.

MIDF Research menjelaskan, negara pengimport utama seperti India dan China membuat pesanan lebih tinggi dalam penghantaran bulan Julai, disebabkan margin penapisan yang sihat yang dicapai pada bulan Mei dan Jun yang lalu di mana pembetulan harga minyak sawit menjadikannya lebih murah daripada minyak pesaing.

“Perhatikan bahawa, diskaun antara minyak sawit dan minyak kacang soya pada bulan Mei dan Jun adalah kira-kira AS$128/Mt (RM569.60) dan AS$137/Mt (RM609.65) di bawah purata tiga tahun sebanyak USD263/Mt (RM1,170), namun sudah melebihi tahap purata 3 tahun sebelum pandemik sebanyak AS$112/Mt,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya