Haizad Rizal dilantik CFO LTAT baharu - Utusan Malaysia

Haizad Rizal dilantik CFO LTAT baharu

HAIZAD RIZAL A AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) melantik Haizad Rizal A. Aziz sebagai Ketua Pegawai Kewangan (CFO) yang baharu, berkuat kuasa semalam.

Haizad Rizal membawa lebih daripada 22 tahun pengalaman yang cemerlang dalam pengurusan kewangan dan kepimpinan strategik merentasi pelbagai industri.

Beliau telah memegang jawatan Ketua Pegawai Kewangan di Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) sebelum ini, dan pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Kewangan di Sime Darby Oils dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan di Kumpulan SME Bank dari 2016 hingga 2024.

Ketua Eksekutif LTAT, Ashraf Radzi berkata, pelantikan itu mencerminkan komitmen teguh pihaknya terhadap pengurusan kewangan dan tadbir urus yang cemerlang.

Ujarnya, kepakaran Haizad akan memainkan peranan penting dalam membawa LTAT ke arah tadbir urus operasi yang berintegriti dan kemajuan yang berterusan.

“Kami yakin kepimpinannya akan memperkukuh misi kami untuk memastikan pengurusan kewangan yang bijak, selaras dengan aspirasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti yang dinyatakan semasa pelancaran Garis Panduan Pengurusan dan Tadbir Urus Badan Berkanun Persekutuan baru-baru ini.

“Kepimpinannya juga akan mengukuhkan komitmen kami terhadap kesejahteraan Anggota Angkatan Tentera Malaysia dan menyediakan perlindungan sosial secara menyeluruh kepada mereka yang berkhidmat demi negara kita,” katanya dalam kenyataan.

Kerjaya cemerlang Haizad Rizal bermula di Ireland, di mana beliau telah berkhidmat selama satu dekad di organisasi-organisasi terkenal seperti BDO Simpson Xavier, Daiwa Europe Fund Managers dan KPMG.

Beliau kembali semula ke Malaysia pada 2009, mengambil alih peranan kepimpinan termasuk Ketua Laporan Statutori dan Pengurusan Kumpulan di RHB Bank Berhad, diikuti oleh Ketua Kewangan di RHB Islamic Bank. Beliau juga telah berkhidmat sebagai Naib Presiden di RHB Investment Bank Berhad sebelum memegang jawatan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan di Kumpulan Syarikat Johawaki pada 2013.

Pengalaman beliau yang luas telah dibuktikan melalui kelayakan akademiknya, termasuk menjadi ahli bersekutu (FCA) dari Institute of Chartered Accountants Ireland (ICAI).

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian dalam Perakaunan dan Kewangan dari Liverpool John Moores University dan telah menamatkan Program Pengurusan Lanjutan dan Kepimpinan di Said Business School, Universiti Oxford. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN