Goldman Sachs naik taraf pasaran saham Malaysia - Utusan Malaysia

Goldman Sachs naik taraf pasaran saham Malaysia

BURSA MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Goldman Sachs menaik taraf pasaran saham Malaysia kepada wajaran sama (equal weight) berikutan sifat defensif pasaran tempatan apabila melibatkan kejutan luaran.

Menurut analisis oleh Goldman Sachs, suasana pelabur telah bertambah baik terhadap Malaysia kini selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memegang jawatan memasuki tahun kedua sekali gus membawa kestabilan politik.

“Ekonomi Malaysia yang semakin teguh dan mata wang yang lebih kukuh juga meningkatkan keyakinan terhadap aset tempatan,” katanya memetik laporan Reuters.

Sementara itu, pakar strategi CGS-CIMB, Chehan Perera berkata, warga asing adalah penjual bersih saham Malaysia dalam lapan daripada 10 tahun lalu apabila skandal 1MDB dan pertukaran pemimpin menimbulkan kebimbangan mengenai ketidakstabilan politik.

“Mereka telah menjual saham bernilai hampir AS$68 juta bulan ini.

“Kami melihat ini sebagai peluang belian yang jarang berlaku dalam saham Malaysia di tengah-tengah kesinambungan dasar, peningkatan penghantaran pendapatan dan peningkatan mata wang tempatan,” ujarnya.

Saham-saham di Asia menyaksikan penjualan bersejarah pada Isnin minggu lalu disebabkan kebimbangan terhadap kemelesetan AS dan saham-saham berteknologi tinggi, serta yen yang bangkit semula menyebabkan strategi pendanaan global dihentikan secara besar-besaran.

Keadaan itu, yang lebih ketara daripada yang dilihat di AS dan Eropah telah memaksa pelabur untuk menilai semula penglibatan mereka.

Dalam sesi dagangan itu juga, Indeks Nikkei Jepun jatuh lebih 12 peratus atau 4,400 mata kepada 31,458.42, kejatuhan terbesar dalam sehari sejak Oktober 1987.

Tidak terkecuali, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 74.57 mata atau 4.62 peratus kepada 1,536.48 daripada 1,611.05 pada penutup Jumaat.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Ekuiti Asia di Abrdn, Pruksa Iamthongthong berkata, pergolakan dalam ekuiti global minggu lalu mendorong pelabur dalam saham Asia untuk mengalihkan perhatian mereka kepada pasaran lain.

“Walaupun Indeks S&P 500 merosot 2.8 peratus sejak data pekerjaan AS yang lemah mencetuskan penjualan besar-besaran, penanda aras Malaysia dan China kehilangan kurang daripada separuh ekuiti.

“Daya tahan pasaran Asia sedang pesat membangun menunjukkan ‘kedudukan pelabur terlalu rendah’ ketika prospek pendapatan mereka dijangka bertambah baik.

“Kecenderungan mereka untuk mendapat manfaat daripada kemungkinan pemotongan kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) adalah lebih baik daripada rakan setara pasaran maju,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN