PUTRAJAYA: Menteri Digital, Gobind Singh Deo menyangkal keras dakwaan pemimpin pembangkang kononnya Digital Nasional Berhad (DNB) bakal menjadi projek gajah putih.
Malah, beliau ketika bercakap kepada pemberita hari ini menegaskan bahawa data terkini menunjukkan pelan pendigitalan kebangsaan itu berada pada landasan yang amat positif.
“Secara keseluruhannya, apa yang sudah dilaksanakan pihak DNB setakat ini adalah baik dan saya berasa tiada isu pula konon ia akan gagal atau menjadi gajah putih,” katanya.
Isnin lalu, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menzahirkan kebimbangan mengenai syarikat milik kerajaan itu dan didakwa bakal menjadi gajah putih.
Beliau ketika berbual menerusi wadah audio siar PodaBoom berkata, ia susulan model dwirangkaian telekomunikasi generasi kelima atau 5G yang akan dilaksanakan di negara ini.
Kerajaan ujarnya, masih belum menjelaskan bagaimana DNB bakal diuruskan setelah rangkaian kedua wujud dan didakwa tidak telus mendedahkan risiko kepada masyarakat.
Isu tersebut sebelum itu ada disentuh bekas menteri, Khairy Jamaluddin yang menyifatkan langkah kerajaan memperkenalkan rangkaian kedua 5G memerlukan lagi dana tambahan.
Perkara itu perlu untuk boleh mengekalkan jaminan kelajuan internet hingga 100 megabit persaat disebabkan perubahan spektrum apabila frekuensi sedia ada tidak digunakan lagi.
Mengulas lanjut, Gobind menjelaskan bahawa, DNB menunjukkan kemajuan yang amat baik sejak tiga tahun lalu malah mempertingkatkan penggunaan 5G dalam kalangan rakyat.
“Kita juga berjaya merekodkan 14.8 juta pelanggan dengan kadar penerimaan pakai pula mencecah 43.6 peratus, maka tidak timbul isu ia akan menjadi gajah putih,” tegasnya.
Pada masa sama, beliau merujuk sumbangan ekonomi digital kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terutama pelaburan diluluskan tahun lalu naik berbanding 2022.
Lonjakan yang melebihi 20 peratus itu tambah beliau, membuktikan Malaysia menuju ke hadapan dari segi penggunaan telekomunikasi 5G untuk pelbagai urusan harian penting.
Ditanya mengenai cadangan sebuah operator rangkaian mudah alih untuk melaksanakan rangkaian kedua 5G, Gobind mengesahkan belum ada maklumat terperinci perkara itu.
Walau bagaimanapun, beliau memberi jaminan akan memaklumkan kepada pihak media mengenai perkembangan isu itu agar tidak mencetuskan kekeliruan atau salah faham.
Terdahulu, beliau hadir merasmikan Hari Kerajaan Digital Alibaba Cloud di sini yang turut menyaksikan Program Pemecutan Digital serta pembangunan kecerdasan buatan. – UTUSAN