GISBH jalin MoU majukan sawah di daerah Maelan, Pattani

GISBH jalin MoU majukan sawah di daerah Maelan, Pattani

GISBH
Maaruf Kasim (tiga dari kiri) dan Ekkasit Songmoeng (empat dari kiri) serta wakil-wakil jabatan di daerah Maelan, Pattani pada majlis menandatangani memorandum persefahaman.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PATTANI: GISB Holdings (GISBH) telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan beberapa agensi kerajaan di wilayah Pattani, Thailand bagi memajukan sektor penanaman padi di kawasan selatan negara jiran itu.

MoU itu adalah antara GISBH dan  Pejabat Daerah Maelan, Pattani, Jabatan Pertanian Maelan, dan Lembaga Benih Padi Pattani.

Pegawai Daerah Maelan, Ekkasit Songmoeng berkata, MoU itu bertujuan meningkatkan kawasan penanaman padi di wilayah itu yang semakin berkurangan sejak kebelakangan ini.

Beliau melahirkan kebimbangan kerana keluasan kawasan tanaman padi di Pattani telah berkurangan daripada kira-kira 60,000 ekar kepada sekitar 27,000 ekar sahaja.

Ekkasit Songmoeng ketika berucap pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara GISB Holdings, Pejabat Daerah Maelan, Jabatan Pertanian Maelan, dan Lembaga Benih Padi Pattani.

Malah katanya, sebahagian besar kawasan sawah itu sudah tidak lagi diusahakan oleh penduduk wilayah tersebut.

“Di daerah Maelan, terdapat kawasan padi yang masih boleh diusahakan, dengan variasi padi riceberry sebagai salah satu produk utama,” katanya dalam ucapan pada majlis itu.

Pada majlis itu GISBH diwakili oleh Pegawai Tadbir GISBH di Thailand Maaruf Kasim. 

Hadir sama .Pengerusi Eksekutif GISBH, Nasiruddin Muhammad Ali; Pengarah Pertanian Maelan, Pornpen Suwattakul dan Pengarah Lembaga Benih Padi Pattani. Suwit Kaewmanee.

Ekkasit turut melahirkan kebimbangan mengenai kekurangan generasi muda yang berminat untuk meneruskan pekerjaan dalam sektor penanaman padi, di mana kebanyakan petani yang masih aktif adalah warga emas yang menggunakan kaedah tradisional.

Katanya, projek tanaman padi yang diusahakan bersama GISBH itu dikenali sebagai “Padi Diraja” dan dijadikan model kepada para petani.

“Benih yang digunakan ialah benih Kho Kho, yang memerlukan masa selama 95 hari untuk dituai, serta rendah kandungan gula, menjadikannya sesuai untuk pesakit diabetes. 

“Projek ini juga selaras dengan pandangan Raja Thai yang menekankan keselamatan makanan, serta hasrat Pengerusi Eksekutif GISBH untuk melahirkan insan yang baik dan bermanfaat kepada masyarakat,” katanya.

Sehubungan Ekkasit, melahirkan penghargaan kepada Nasiruddin  atas kesudian membantu projek tanaman padi di daerah Maelan. 

Beliau turut menerangkan mengenai kepentingan produk enzim Fateh keluaran GISBH dalam usaha mempertingkatkan hasil tanaman padi.

Menurut Ekkasit, Maelan dikenali sebagai kawasan yang subur untuk penanaman padi, dan Pattani secara keseluruhannya mempunyai sistem pengairan yang mencukupi untuk pertanian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN